Insiden LRT : Tiada pihak pengurusan tertinggi Prasarana terlepas tindakan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Tiada pihak dalam pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad akan terlepas daripada tindakan susulan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Pengangkutan menegaskan tindakan tegas, termasuk pemecatan, akan dipertimbangkan terhadap pihak yang didapati cuai dalam aspek keselamatan.
  • Tren LRT tergelincir; 25 penumpang dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
  • MOT menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kejadian secara menyeluruh.
  • APAD diarahkan mengambil tindakan hukuman maksimum; laporan siasatan lengkap akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum didedah.

Perkata itu dinyatakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan bahawa tindakan tegas termasuk pemecatan perlu dipertimbangkan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan aspek keselamatan operasi rel awam.

“Insiden itu tidak boleh dianggap sebagai gangguan operasi biasa kerana ia membabitkan risiko keselamatan tinggi kepada penumpang dan petugas.

“Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap ‘business-as-usual’.

“Tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pagi tadi, sebuah tren LRT dilaporkan tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin namun kesemua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Susulan itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat secara menyeluruh punca kejadian berkenaan.

Anthony Loke turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan hukuman paling maksimum terhadap Prasarana, selain membuka kertas siasatan serta-merta.

Laporan siasatan lengkap akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum didedahkan kepada umum.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.