Pembayaran digital berisiko penipuan dalam talian

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Ong Tze Chin/RTM

KUALA LUMPUR, 28 Mei -Kemudahan pembayaran digital yang semakin meluas membuka ruang kepada peningkatan kes penipuan dalam talian serta kehilangan wang daripada akaun pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Undang-undang sedia ada, tetapi penguatkuasaan dan proses siasatan mengambil masa untuk membuktikan penipuan.
  • Sistem pembayaran digital masih lemah dari segi keselamatan dan terlalu pantas masa nyata, sukar menyekat atau memulihkan transaksi selepas berlaku.
  • Kerjasama erat antara platform teknologi dan pihak penguatkuasa penting, pengguna perlu berhati-hati kerana wang yang hilang sukar diperoleh semula.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Ong Tze Chin berkata, Malaysia sememangnya mempunyai undang-undang berkaitan jenayah serta kewangan digital.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran utama ketika ini melibatkan aspek penguatkuasaan dan proses siasatan yang mengambil masa.

“Bukan tidak ada undang-undang. Undang-undang memang ada, termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Tetapi masalah utama ialah penguatkuasaan dan proses siasatan yang mengambil masa untuk membuktikan sesuatu penipuan itu benar-benar berlaku.” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Mengulas mengenai perlindungan terhadap pengguna Dr. Ong berkata sistem pembayaran digital ketika ini masih mempunyai kelemahan dari sudut keselamatan dan kawalan transaksi.

Menurutnya, kebanyakan sistem beroperasi secara masa nyata tanpa campur tangan manusia yang mencukupi bagi menyekat transaksi mencurigakan sebaik laporan dibuat.

“Sistem sekarang terlalu ‘real time’. Apabila transaksi sudah berlaku, sukar untuk dihalang atau dipulihkan semula. Keselamatan sistem juga belum benar-benar matang dan kebanyakan platform terlalu cepat diperkenalkan kepada pengguna.” katanya.

Beliau turut menegaskan kerjasama antara platform teknologi dan pihak penguat kuasa amat penting bagi membantu pengesanan kes penipuan dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan pembayaran digital walaupun ia menawarkan kemudahan.

Katanya, pengguna perlu memahami risiko transaksi digital kerana wang yang hilang akibat penipuan sukar diperoleh semula dan memerlukan proses siasatan terperinci bagi membuktikan unsur fraud.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.