
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Sime Darby Property Bhd optimis mencapai sasaran jualan RM4 bilion bagi tahun kewangan 2026, disokong prestasi kukuh pada suku pertama serta perancangan pelancaran projek baharu bagi tempoh selebihnya tahun ini.
- Jualan suku pertama RM918.9 juta.
- Tempahan jualan RM1.1 bilion; jualan belum dibil meningkat kepada RM4.1 bilion.
- Projek dilancarkan tidak boleh memindahkan kos; projek baharu diteliti harga dan reka bentuk untuk mengekalkan margin.
- Pengguna lebih berhati-hati akibat ketidaktentuan global dan tekanan kos; permintaan rumah untuk didiami masih wujud.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Azmir Merican berkata, kumpulan merekodkan jualan RM918.9 juta pada suku pertama, bersamaan 23 peratus daripada sasaran jualan setahun penuh.
Menurut beliau, tempahan jualan turut kekal kukuh pada RM1.1 bilion, manakala jualan belum dibil meningkat kepada RM4.1 bilion, yang dijangka terus menyokong pendapatan kumpulan pada masa hadapan.
“Bagi projek yang telah dilancarkan, kita tidak dapat memindahkan kos itu kepada pembeli. Bagi projek yang akan dilancarkan pula, kita meneliti harga dan merasionalisasikan reka bentuk supaya margin kekal baik, pada masa sama produk dapat ditawarkan pada harga yang munasabah dan menarik,” katanya dalam Taklimat Media Prestasi Suku Pertama Sime Darby Property bagi Tahun Kewangan 2026, secara maya.
Tambahnya, kumpulan kekal berhati-hati terhadap tekanan kos pembinaan, termasuk harga diesel, bahan binaan dan gangguan rantaian bekalan.
Syarikat sedang meneliti harga, reka bentuk serta penggunaan bahan yang sesuai bagi memastikan produk kekal menarik kepada pembeli, di samping melindungi margin keuntungan.
Mengulas sentimen pembeli rumah, beliau berkata, pengguna kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan pembelian berikutan ketidaktentuan global dan tekanan kos.
Bagaimanapun, permintaan bagi pembelian kediaman sebenar masih wujud, terutama dalam kalangan mereka yang memerlukan rumah untuk didiami.
Syarikat berkenaan juga akan terus memberi tumpuan kepada produk yang tepat pada harga bersesuaian bagi mengekalkan daya saing pasaran.