Parlimen Bolivia sedia beri kuasa penuh kepada tentera tangani protes

Foto REUTERS

LA PAZ, 26 Mei – Sekatan jalan raya dan demonstrasi membantah kos sara hidup tinggi terus melumpuhkan bandar-bandar utama Bolivia pada Selasa, memaksa pihak legislatif bertindak meminda undang-undang bagi memberi kuasa lebih luas kepada pihak tentera untuk mengawal keadaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Protes mengganggu rantaian bekalan kritikal di bandar seperti La Paz dan El Alto, menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan ubat.
  • Kerajaan mengumumkan potongan gaji 50 peratus kepada Presiden dan menteri, tetapi langkah itu gagal menenteramkan protes.
  • Dewan Rakyat mempercepatkan pindaan untuk memansuhkan sekatan Akta Darurat 2020, memberi imuniti dan kuasa isytihar darurat serta mengerahkan tentera.

Krisis yang berlarutan selama beberapa minggu itu menyaksikan ribuan penunjuk perasaan terus mendesak pentadbiran pimpinan Presiden Rodrigo Paz membatalkan langkah penjimatan fiskal yang mencetuskan lonjakan harga barang.

Siri protes berkenaan telah mengakibatkan gangguan rantaian bekalan yang kritikal di bandar-bandar utama termasuk La Paz dan El Alto.

Tindakan tersebut sekali gus mencetuskan krisis kekurangan bekalan makanan, bahan api, dan ubat-ubatan di pasaran, stesen minyak, serta hospital.

Keadaan yang semakin meruncing itu turut mencetuskan kemarahan kumpulan penduduk lain yang terjejas akibat sekatan jalan raya, yang kini mula turun ke jalanan bagi mendesak kerajaan Paz mencari jalan penyelesaian segera.

Sebagai usaha meredakan kemarahan rakyat, Presiden Paz pada Isnin mengumumkan kesediaan beliau dan barisan menteri kabinetnya untuk memotong gaji masing-masing sebanyak 50 peratus, sebagai simbolik komitmen kerajaan terhadap situasi sukar yang dihadapi negara.

Bagaimanapun, langkah itu gagal menenteramkan keadaan, memaksa dan Dewan Rakyat Bolivia mengadakan sidang maya hari ini bagi mempercepatkan kelulusan rang undang-undang yang sebelum ini telah diluluskan oleh Senat.

Pindaan tersebut bakal memansuhkan sekatan di bawah Akta Darurat 2020, sekali gus memberikan imuniti dan kelonggaran penuh kepada pentadbiran Paz untuk mengisytiharkan darurat serta mengerahkan angkatan tentera bagi menangani kekacauan awam. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.