Korban lambang keimanan, kebersamaan masyarakat – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Lembu Korban kepada Masyarakat di Parlimen Permatang Pauh dan Seberang Jaya di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah – Foto BERNAMA

PERMATANG PAUH, 26 Mei – Ibadah korban bukan sekadar tuntutan agama, sebaliknya membawa makna lebih besar dalam membina nilai pengorbanan, keimanan serta manfaat kepada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar: penghayatan korban perlu diterjemahkan melalui usaha menyantuni fakir miskin dan golongan kurang bernasib baik.
  • Konsep korban mengajar ketabahan, keimanan teguh dan ketaatan seperti teladan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
  • Ibadah korban memperkukuh semangat kebersamaan dan memberi manfaat langsung kepada keluarga serta masyarakat.
  • Sebanyak 260 lembu diagihkan di tiga lokasi, menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap keperluan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghayatan ibadah korban perlu diterjemahkan melalui usaha menyantuni rakyat khususnya fakir miskin, golongan kurang bernasib baik dan mereka yang berdepan kesusahan hidup.

Beliau berkata, konsep korban mengajar umat Islam supaya tabah menghadapi ujian selain menuntut keimanan yang teguh dan ketaatan kepada Allah SWT seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

“Tidak ada perjuangan dan erti kehidupan tanpa kesabaran, daya tahan serta semangat pengorbanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama wakil-wakil penerima pada Majlis Penyerahan Lembu Korban kepada Masyarakat di Parlimen Permatang Pauh dan Seberang Jaya di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah – Foto BERNAMA

Menurut beliau, kekuatan ibadah korban turut terletak pada manfaatnya kepada masyarakat terutama golongan memerlukan.

Katanya, amalan itu mendidik masyarakat supaya menghidupkan semangat kebersamaan dan tidak hanya mementingkan diri sendiri.

“Ibadah itu memberi manfaat kepada masyarakat. Kerana korban itu, kita adakan kegiatan ibadah, tetapi manfaatnya kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam agar menghayati setiap ibadah melalui amalan kebajikan, sedekah dan sumbangan kepada masyarakat demi memperkukuh hubungan sesama insan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat lembu korban yang akan diserahkan kepada wakil penerima pada Majlis Penyerahan Lembu Korban kepada Masyarakat di Parlimen Permatang Pauh dan Seberang Jaya di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah – Foto BERNAMA

Sementara itu, penduduk Parlimen Permatang Pauh menyifatkan agihan lembu korban berkenaan sebagai tanda keprihatinan Perdana Menteri terhadap keperluan rakyat.

Muhammad Hafiz Mohd Yusof melahirkan rasa syukur kerana dapat menerima sumbangan serta bertemu Perdana Menteri.

“Syukur Alhamdulillah dapat sumbangan daripada Perdana Menteri sendiri dan syukur juga kita dapat berkumpul semua serta bertemu dengan Perdana Menteri,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Megat Mohd Khairul Nizam turut mengucapkan penghargaan atas sumbangan lembu korban tersebut.

“Saya mewakili orang Permatang Pauh mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri kita kerana sudi datang dan beri sumbangan lembu korban,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 260 lembu diagihkan menerusi Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI di tiga lokasi sekitar Permatang Pauh melibatkan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Masjid Al-Falah Pengkalan Tambang dan Padang Mengkuang Titi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.