Nur Izzati Humaira ditemukan meninggal dunia

Foto JBPM

HULU BERNAM, 26 Mei -Seorang remaja perempuan yang dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, disini Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, ditemukan oleh pasukan SAR pada pukul 11.59 pagi.
  • Mayat ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian.
  • Mayat diserahkan kepada polis lalu dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat; operasi SAR masuk hari keempat.

Mangsa, Nur Izzati Humaira Azizul, 19 tahun ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.59 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan mayat mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Pasukan SAR mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk membawa mangsa keluar menggunakan pengusung.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat”, ujarnya dalam kenyataan.

Terdahulu, operasi SAR yang memasuki hari keempat bermula pukul 8.00 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi keselamatan selepas pencarian ditangguhkan pada pukul 7.00 petang semalam.

Nur Izzati Humaira tersesat ketika menuruni bukit pada Sabtu lalu selepas memilih untuk berjalan sendirian kerana keletihan dan berasa panas selain mahu tiba lebih awal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.