Letupan tong helium ragut nyawa: Peniaga belon mengaku tidak bersalah

Foto Fail

SUNGAI PETANI, 26 Mei– Seorang peniaga belon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki dalam insiden letupan tong gas helium di sebuah tapak karnival makanan, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa cuai ubah suai dan guna tong helium buatan sendiri hingga letupan mengakibatkan kematian Azmi Ahmad.
  • Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
  • Mahkamah benarkan bail RM5,000 dengan seorang penjamin; tiga lelaki lain turut cedera dalam insiden tersebut.

Tertuduh, Hasrul Nizam Abu Hasan, 38 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara cuai mengubah suai dan menggunakan tong gas helium buatan sendiri sehingga berlaku letupan yang mengakibatkan kematian Azmi Ahmad, 42 tahun.

Kejadian berlaku di tapak ekspo Dataran Jam Besar, Jalan Ibrahim, Sungai Petani pada pukul 7.53 malam, 21 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamarulzaman memohon jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Adam Burhanudeen memohon jumlah berkenaan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung empat anak berusia antara tiga hingga 15 tahun, selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa yang juga seorang peniaga minuman maut akibat terkena serpihan tong yang meletup, menyebabkan kecederaan parah pada bahagian perut dan tangan kanan.

Insiden itu turut mencederakan tiga lelaki yang lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.