
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berasingan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima wang berjumlah RM350,000 daripada seorang individu pada 13 November 2017.
- Polis menerima laporan berhubung dakwaan yang tular di platform media sosial.
- Tindakan diambil di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkaitan penjawat awam menerima benda berharga tanpa balasan.
- Tindakan berasingan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
- Permohonan OTI di bawah Seksyen 108(2) akan dikemukakan; siasatan termasuk rakam keterangan dan sahkan status siasatan SPRM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung dakwaan itu, yang turut tular di platform media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 165 kanun keseksaan iaitu penjawat awam menerima benda yang berharga, dengan tiada balasan, daripada orang yang ada kena mengena dalam apa-apa prosiding atau urusan yang dijalankan oleh penjawat awam itu.
“Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya”, katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, kertas siasatan kedua dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan memfitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Datuk M. Kumar berkata permohonan Order to Investigate (OTI) di bawah Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah akan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Siasatan lanjut itu termasuk merakam percakapan saksi dan mendapatkan pengesahan berhubung status siasatan terdahulu oleh SPRM.