Bina ketahanan komuniti, peringatan dan pengajaran daripada konflik

Foto Janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangunkan ketahanan komuniti secara proaktif melalui perancangan sistematik, pengukuhan institusi setempat dan kesiapsiagaan bencana.
  • Dasar sosial inklusif dan bersasar untuk lindungi golongan rentan: warga tua, kanak-kanak, OKU; pastikan akses kesihatan, pendidikan dan sokongan mobiliti.
  • Pendekatan whole-of-nation melibatkan kerajaan, swasta, NGO dan komuniti diperlukan untuk sistem sokongan menyeluruh dan respons cepat semasa krisis.
  • Kukuhkan jaringan kejiranan, literasi digital, sistem amaran awal dan platform komunikasi kecemasan untuk tindak balas komuniti yang efektif.

Dalam landskap antarabangsa yang terjejas ekoran pelbagai konflik geopolitik, krisis kemanusiaan dan gangguan ekonomi global, konsep ketahanan komuniti atau komuniti yang berdaya tahan, semakin menjadi keutamaan dalam wacana pembangunan negara.

Ketahanan komuniti merujuk kepada keupayaan sesebuah masyarakat untuk bertahan, menyesuaikan diri, serta pulih daripada kejutan dan krisis sama ada berbentuk ekonomi, sosial mahupun bencana.

Membina ketahanan komuniti secara bersama dan bersepadu

Ketahanan komuniti tidak boleh dibina selepas krisis berlaku. Ia perlu dibangunkan lebih awal melalui perancangan yang sistematik. Ini termasuk memperkukuh institusi komuniti, meningkatkan kesiapsiagaan bencana dan memperkasakan jaringan sosial di peringkat akar umbi.

Dalam konteks dunia hari ini, peperangan antara negara, ketegangan perdagangan, krisis tenaga serta perubahan iklim telah memberi kesan rantaian kepada hampir semua negara, termasuk Malaysia.

Walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung dalam kebanyakan konflik bersenjata antarabangsa, impaknya tetap dirasai melalui kenaikan harga barang, gangguan rantaian bekalan makanan, ketidakstabilan pasaran kewangan serta tekanan sosial dalam kalangan rakyat.

Dan, kelompok paling terkesan dalam demografi masyarakat adalah golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta lain-lain lagi.

Peperangan terbaharu melibatkan Iran dan Amerika Syarikat misalnya, menjadi peringatan tentang kepentingan membentuk ketahanan komuniti ini.

Konflik bersenjata itu bukan hanya isu geopolitik terpinggir yang jauh dari Malaysia. Sebaliknya, ia menjadi peringatan bahawa dalam setiap krisis, mangsa sebenar selalunya adalah orang awam.

Apabila berlaku peperangan, kemusnahan bukan hanya melibatkan bangunan atau infrastruktur tetapi turut melumpuhkan sistem kehidupan.

Akses kepada makanan, rawatan kesihatan dan keselamatan menjadi semakin terhad. Dalam keadaan ini, golongan yang paling memerlukan sokongan sering menjadi yang paling terpinggir.

Sebagai sebuah negara yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan konflik global.

Gangguan terhadap laluan perdagangan utama, peningkatan kos import bahan mentah, serta turun naik nilai mata wang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.

Realiti ini dapat dilihat berulang kali dalam pelbagai konflik di seluruh dunia. Warga tua menghadapi kesukaran untuk bergerak dan mendapatkan rawatan.

Kanak-kanak kehilangan peluang pendidikan serta terdedah kepada tekanan emosi dan trauma berpanjangan.

OKU pula sering tidak mempunyai akses kepada bantuan yang sesuai dengan keperluan mereka. Krisis tidak memilih mangsa tetapi kesannya tidak pernah dirasai secara sama rata.

Walaupun Malaysia berada jauh dari zon konflik, persoalan penting yang timbul ialah sama ada kita benar-benar bersedia jika krisis berlaku.

Krisis hari ini bukan hanya peperangan. Ia boleh berlaku dalam bentuk bencana alam, wabak penyakit atau kejutan ekonomi global. Dalam dunia yang saling berkait, kesan daripada konflik di luar negara tetap boleh dirasai di dalam negara.

Krisis tenaga dan makanan contohnya, yang berpunca daripada konflik di negara pengeluar utama turut menjejaskan kestabilan ekonomi domestik.

Dalam situasi ini, masyarakat yang tidak mempunyai tahap ketahanan yang tinggi lebih mudah terkesan, khususnya golongan berpendapatan rendah dan komuniti luar bandar.

Dalam konteks ini, ketahanan komuniti perlu diberi perhatian serius. Pengajaran daripada perang Amerika Syarikat-Iran menunjukkan bahawa apabila sistem antarabangsa terganggu, komuniti setempat menjadi barisan hadapan yang sebenar.

Bantuan rasmi mungkin mengambil masa tetapi komuniti dapat bertindak lebih cepat melalui sokongan sesama sendiri.

Hubungan antara jiran, semangat saling membantu dan kepercayaan dalam masyarakat menjadi faktor penting dalam memastikan kelangsungan hidup ketika berlaku sesuatu konflik terutama peperangan.

Bagi Malaysia, cabaran ini menjadi lebih mendesak kerana negara sedang menuju status negara menua menjelang tahun 2030. Ini bermakna jumlah warga emas akan meningkat dan keperluan terhadap sistem sokongan sosial akan menjadi lebih tinggi.

Jika krisis berlaku, golongan ini berisiko tinggi untuk terjejas sekiranya sistem tidak bersedia dengan baik.

Oleh itu, dasar sosial negara perlu lebih inklusif dan bersasar. Pendekatan umum tidak lagi mencukupi. Warga tua memerlukan akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan mobiliti.

Kanak-kanak memerlukan perlindungan serta kesinambungan pendidikan walaupun dalam situasi sukar. Orang kelainan upaya pula memerlukan pelan kecemasan yang mengambil kira keperluan khusus mereka.

Disebabkan faktor ini, ketahanan komuniti perlu dibina sebelum krisis berlaku menerusi satu perancangan sistematik merangkumi pengukuhan institusi komuniti, peka dan sentiasa siap siaga serta memperkasa jaringan sosial komuniti akar umbi.

Dalam masa yang sama, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan. Pendekatan “whole-of-nation” yang melibatkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti setempat adalah penting dalam membina sistem sokongan yang lebih menyeluruh.

Ketahanan komuniti adalah tanggungjawab bersama melibatkan semua pihak yang mempunyai peranan dalam memastikan tiada siapa yang tercicir terutamanya dalam situasi krisis.

Hubungan kejiranan, semangat gotong-royong, serta kepercayaan antara ahli komuniti misalnya, memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat ketika krisis berlaku.

Kekerapan konflik global berlaku merupakan satu peringatan

Akhirnya, apa yang berlaku di Iran perlu dilihat sebagai satu peringatan kepada kita semua. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, krisis boleh berlaku pada bila bila masa.

Persoalannya bukan lagi sama ada kita akan berdepan dengan krisis tetapi sejauh mana kita bersedia untuk menghadapinya.

Sebagai strategi perlindungan rakyat khususnya golongan rentan, ketahanan komuniti perlu dijadikan teras kepada dasar sosial negara.

Masyarakat yang kuat bukan hanya yang mampu membangun tetapi yang mampu melindungi setiap anggotanya ketika dunia menjadi tidak pasti.

Oleh itu, ketahanan komuniti bukan hanya satu konsep dalam wacana akademik tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan masyarakat mampu berfungsi secara efektif walaupun dalam keadaan tertekan.

Di Malaysia, nilai-nilai seperti muafakat, kerjasama komuniti dan semangat kekitaan telah lama menjadi asas kepada kekuatan sosial masyarakat.

Tradisi ini perlu terus diperkukuhkan dalam era moden khususnya ketika masyarakat semakin terdedah kepada cabaran global yang lebih kompleks.

Sebagai contoh, ketika berlaku gangguan bekalan makanan atau bencana alam, komuniti yang mempunyai jaringan sosial kukuh lebih cepat bertindak dalam mengatur bantuan, berkongsi sumber dan menyokong ahli yang terkesan.

Dalam era digital pula, ketahanan komuniti juga bergantung kepada tahap literasi maklumat dan keupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi.

Penyebaran maklumat palsu atau misinformation ketika krisis global boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat jika tidak ditangani dengan baik.

Oleh itu, pendidikan masyarakat mengenai literasi digital, pengurusan risiko dan kesedaran global perlu diperkasakan. Institusi pendidikan, universiti serta agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Selain itu, penggunaan teknologi seperti platform komunikasi kecemasan, sistem amaran awal bencana, dan aplikasi bantuan komuniti dapat mempercepatkan tindak balas masyarakat terhadap krisis.

Walaupun ketahanan komuniti banyak bergantung kepada kekuatan dalaman masyarakat itu sendiri, peranan kerajaan tetap kritikal terutama dalam penyediaan dasar yang inklusif dan responsif.

Pelaburan dalam infrastruktur sosial, jaringan keselamatan sosial serta program pembangunan komuniti perlu dipertingkat bagi memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir ketika krisis berlaku.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik antarabangsa dan cabaran global yang kompleks, ketahanan komuniti menjadi elemen penting dalam memastikan kestabilan negara.

Malaysia, dengan kepelbagaian masyarakat dan kekuatan nilai sosialnya, mempunyai asas yang kukuh untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan.

Usaha ini memerlukan komitmen berterusan semua pihak seperti kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat sendiri untuk memastikan setiap komuniti bukan sahaja mampu bertahan tetapi juga berkembang dan pulih dengan lebih kuat selepas berhadapan dengan krisis.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Aidanajwa Sabri
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Kerajaan
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel: aidanajwa.sabri@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.