
KUALA LUMPUR, 26 Mei– Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan bahawa dua orang warganegara Malaysia terjejas akibat insiden runtuhan bangunan di Angeles, Filipina pada 24 Mei lalu.
- Seorang warganegara Malaysia disahkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
- Seorang lagi warganegara Malaysia disahkan meninggal dunia; waris telah dimaklumkan.
- Kedutaan Malaysia di Manila menyalurkan bantuan konsular termasuk urusan pengendalian jenazah.
- KLN merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menghargai kerjasama pihak berkuasa Filipina.
KLN dalam kenyataan memaklumkan seorang daripada warganegara Malaysia yang terjejas dalam insiden tersebut disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Manila telah memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada individu berkenaan.”
“Kementerian juga dengan penuh dukacita mengesahkan bahawa seorang lagi warganegara Malaysia yang terjejas dalam insiden tersebut telah meninggal dunia”, jelas kenyataan tersebut.
Waris terdekat telah menerima pemakluman dan Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada keluarga mangsa, termasuk membantu dalam urusan pengendalian jenazah.
“Kementerian ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas berita duka ini.
“Kementerian juga menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa di Filipina atas bantuan serta kerjasama yang diberikan dalam perkara ini”, jelas kenyataan itu lagi.
KLN juga komited untuk terus memelihara kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.