
SAUDARA PENGARANG
- Manusia moden sering mengalami keletihan emosi, hidup sibuk dan rindu ketenangan serta kedekatan dengan Allah.
- Haji adalah perjalanan hati yang mengajar sabar, reda dan pergantungan sepenuhnya kepada Tuhan, bukan sekadar perjalanan fizikal.
- Sahabat dan doa, termasuk melalui teknologi, mampu mengingatkan kepada Allah dan menenangkan jiwa dalam penantian.
Tengah hari itu, telefon bimbit berbunyi perlahan. Masuk satu panggilan video daripada sahabat yang sedang berada di Tanah Suci Mekah.
Wajahnya kelihatan tenang walaupun keletihan jelas tersimpan di mata. Di belakangnya, Kaabah berdiri megah dikelilingi ribuan manusia yang sedang bertawaf tanpa henti.
Kemudian terdengar suara lembut sahabat itu.
“Doakan aku di sini. Aku pun doakan kalian…” Dia mengalihkan sedikit telefon ke arah Kaabah. “Cepat… doa untuk diri sendiri juga. Tengok Kaabah ni sambil berdoa… mana tahu Allah sedang mendengar hati kita saat ini.”
Saat itu, hati terasa sangat tenang. Seolah-olah jarak ribuan kilometer antara diri sendiri dan Tanah Suci menjadi dekat hanya kerana sebuah doa dan kasih sayang seorang sahabat.
Dalam persahabatan kami bertiga, dua orang sudah pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk umrah. Kini seorang lagi dipilih menjadi tetamu haji.
Tinggallah seorang sahabat yang masih belum pernah sampai, bukan kerana tidak mahu, tetapi mungkin belum mampu dan belum tiba waktunya untuk dijemput Allah SWT.
Namun indahnya, dalam rasa rindu yang tersimpan itu, hati belajar menerima bahawa setiap jemputan Allah hadir pada waktu yang paling tepat.
Manusia dan Keletihan Emosi
Hari ini, ramai manusia hidup dalam keadaan penat secara emosi. Tekanan kerja, kos kehidupan yang semakin meningkat, komitmen keluarga dan cabaran kewangan membuatkan ramai semakin kehilangan ketenangan diri.
Ada yang bangun pagi dengan tubuh yang masih letih. Ada yang ketawa di hadapan orang lain tetapi sebenarnya sedang menyimpan beban dalam hati. Ada juga yang terlalu sibuk mengejar kehidupan sehingga lupa memberi ruang untuk jiwa sendiri berehat.
Dalam dunia yang semakin bising ini, manusia sebenarnya sedang mencari sesuatu yang mampu menenangkan hati. Sebab itu, tidak hairan apabila melihat Kaabah walaupun hanya melalui skrin telefon mampu membuat seseorang menangis dalam diam.
Ia kerana jauh di sudut hati, manusia sebenarnya rindu untuk kembali dekat kepada Tuhan.
Haji dan Sebuah Pengorbanan
Ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal menuju Tanah Suci. Ia adalah perjalanan hati menuju Allah SWT.
Di sebalik pakaian ihram yang serba putih dan laungan talbiah, tersimpan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Siti Hajar yang penuh kesabaran serta ketaatan kepada Allah.
Sebab itu, setiap langkah dalam ibadah haji sebenarnya mengajar manusia tentang sabar, reda dan pergantungan sepenuhnya kepada Tuhan.
Namun realiti hari ini membuatkan tidak semua orang mampu pergi dengan segera. Kos menunaikan umrah dan haji yang semakin meningkat menyebabkan ramai hanya mampu menyimpan impian itu dalam hati.
Ada yang menunggu bertahun-tahun. Ada yang masih mendahulukan keluarga dan ibu bapa. Ada juga yang sedang berusaha menstabilkan kehidupan sendiri sebelum mampu menjadi tetamu Allah. Tetapi dalam perjalanan menuju Allah, tiada penantian yang sia-sia.
Kadang-kadang Allah sedang mendidik hati manusia melalui sebuah penantian agar apabila sampai waktunya nanti, langkah itu benar-benar dipenuhi rasa syukur dan cinta kepada-Nya.
Sahabat yang Membawa Kita Dekat kepada Allah
Tidak semua orang memiliki sahabat yang mengingatkan dirinya kepada Allah. Ada sahabat yang hadir ketika senang. Ada sahabat yang sekadar berkongsi gelak tawa.
Tetapi ada juga sahabat yang apabila melihat Kaabah, dia teringat untuk mengirim doa kepada kita sekali. Itu adalah hadiah persahabatan yang sangat mahal nilainya.
Dalam dunia media sosial hari ini, manusia mudah berkongsi kemewahan dan pencapaian hidup. Namun alangkah indahnya jika teknologi juga digunakan untuk menyebarkan doa, ketenangan dan mengingatkan manusia kepada Allah.
Kadang-kadang satu video pendek dari Tanah Suci mampu melembutkan hati yang sedang penat dengan dunia. Mungkin inilah antara perkara yang semakin diperlukan hari ini iaitu hubungan yang membawa hati lebih dekat kepada Tuhan, bukan sekadar dekat di dunia.
Menemukan Tenang dalam Sebuah Doa
Mungkin hari ini ada insan yang hanya mampu melihat Kaabah melalui skrin kecil telefon bimbit sambil menahan air mata. Namun siapa tahu, kerinduan yang lahir daripada hati yang belum sampai itu sebenarnya sedang membawa dirinya semakin dekat kepada Allah.
Ia kerana ada perjalanan yang bermula bukan dengan langkah kaki, tetapi dengan hati yang tidak pernah berhenti berharap. Ya Allah, jika hari ini kami belum menjadi tetamu-Mu di Baitullah, jangan biarkan hati kami jauh daripada-Mu.
Lembutkan hati kami dalam penantian. Tenangkan jiwa kami dalam kesibukan dunia. Satukanlah kami suatu hari nanti dalam perjalanan yang membawa hati semakin dekat kepada-Mu. Jika belum sampai kaki kami ke Mekah, biarlah hati kami terlebih dahulu sampai kepada-Mu.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nurza Mohamed Yusoff
Pensyarah, Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakauanan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

Nor Rosmawati Abdul Karim
Pensyarah, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakauanan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: norrosmawati@uis.edu.my