
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Proton e.MAS kekal menerajui pasaran kenderaan elektrik (EV) negara pada April 2026 dengan pegangan pasaran sebanyak 40.9 peratus.
- Proton e.MAS kekal peneraju pasaran EV pada April 2026 dengan pegangan 26.4 peratus, diikuti BYD, Chery, Zeekr dan Tesla.
- Pendaftaran EV April meningkat kepada 5,900 unit, naik 25 peratus berbanding bulan sebelumnya dan 103.8 peratus tahun ke tahun.
- Pendaftaran EV kumulatif Januari-April 2026 melonjak 110.8 peratus kepada 20,500 unit.
Menurut TA Securities Holding Bhd, walaupun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) tidak mendedahkan data jualan EV bagi April 2026, namun data pendaftaran terkini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tersedia di portal data terbuka menunjukkan pendaftaran EV meningkat kepada 5,900 unit pada April 2026.
“Pendaftaran EV meningkat 25 peratus bulan lalu, selain turut melonjak 103.8 peratus dari tahun ke tahun. Dari segi pegangan pasaran EV, e.MAS keluaran Proton kekal sebagai peneraju pasaran dengan pegangan sebanyak 26.4 peratus, diikuti BYD (24 peratus), Chery (9.5 peratus), Zeekr (6.1 peratus) dan Tesla (2.9 peratus),” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, secara kumulatif, pendaftaran EV bagi tempoh empat bulan pertama 2026 melonjak 110.8 peratus dari tahun ke tahun kepada 20,500 unit.
Bagi segmen kenderaan penumpang nasional, jualan melonjak 25.8 peratus dari bulan ke bulan kepada 50,000 unit pada April.
Tambah beliau, Perodua merekodkan peningkatan jualan sebanyak 30.7 peratus kepada 32,100 unit, manakala Proton mencatat kenaikan 18 peratus kepada 18,000 unit.
“Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, jualan kenderaan penumpang nasional meningkat 26.6 peratus dengan jualan Perodua meningkat 17.1 peratus, manakala Proton terus mencatat prestasi lebih baik dengan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 47.9 peratus disokong permintaan berterusan terhadap model baharunya serta peningkatan pegangan pasaran,” katanya.
Bagaimanapun, jualan kenderaan penumpang bukan nasional menurun 9.5 peratus kepada 17,800 unit pada bulan lalu.
TA Securities berkata, kelemahan itu didorong oleh penurunan jualan Honda sebanyak 45.2 peratus, Nissan (33.8 peratus) dan Volkswagen (7.4 peratus), walaupun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jualan Mazda (30 peratus), Toyota (13.2 peratus) dan lain-lain (7.1 peratus).