
BEIRUT, 25 Mei – Ketua Hizbullah, Naim Qassem pada Ahad menyuarakan harapan agar Lubnan turut dimasukkan dalam sebarang perjanjian antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
- Hizbullah dan Israel terus bertelagah sejak serangan roket 2 Mac, mengheret Lubnan ke dalam konflik serantau.
- Qassem menolak rundingan langsung dengan Israel dan menganggap Amerika Syarikat bukan perantara yang jujur.
- Beliau mengkritik usaha melucutkan senjata Hizbullah, berkata ia melemahkan pertahanan Lubnan dan tidak akan diterima.
Hizbullah dan Israel terus bertelagah sejak kumpulan itu melancarkan serangan roket ke Israel pada 2 Mac sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam operasi bersama AS-Israel, sekali gus mengheret Lubnan ke dalam konflik serantau.
Pegawai Iran sebelum ini memaklumkan bahawa sebarang persefahaman dengan Washington untuk menamatkan perang akan turut melibatkan situasi di Lubnan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata Presiden AS, Donald Trump sekali lagi menegaskan sokongan Washington terhadap hak Israel untuk “mempertahankan diri daripada ancaman di semua medan, termasuk di Lubnan”.
“Insya-Allah, perjanjian ini akan dimuktamadkan dan terdapat petanda positif ke arah itu. Sewajarnya, Lubnan juga perlu menjadi sebahagian daripada perjanjian pemberhentian penuh permusuhan,” kata Qassem dalam ucapan yang disiarkan stesen televisyen Al-Manar milik Hizbullah.
Ucapan itu dibuat sempena ulang tahun pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan pada tahun 2000 selepas hampir dua dekad pendudukan susulan tekanan berterusan Hizbullah.
Qassem turut menegaskan Iran, yang sekian lama menjadi penyumbang utama dana dan senjata kepada Hizbullah, akan keluar daripada konflik serantau itu “dengan penuh keyakinan”.
Dalam pada itu, Lubnan dijadual mengadakan pusingan keempat rundingan langsung dengan Israel di Washington pada 2 dan 3 Jun depan, didahului pertemuan delegasi tentera kedua-dua pihak di Pentagon pada 29 Mei.
Qassem sekali lagi menolak rundingan langsung dengan Israel dan menyifatkan AS bukan “perantara yang jujur”.
“Rundingan langsung sama sekali tidak boleh diterima dan hanya menguntungkan Israel,” katanya.
Beliau turut mengkritik usaha pihak berkuasa Lubnan untuk melucutkan senjata Hizbullah, dengan mendakwa tindakan itu hanya akan melemahkan pertahanan negara dan membuka ruang kepada “kemusnahan”.
“Pelucutan senjata bermakna melucutkan keupayaan pertahanan Lubnan dan penentangan Hizbullah. Kami tidak akan menerimanya,” tegasnya.-AFP