Sze Fei-Nur Izzuddin kempunan julang gelaran Malaysia Masters 2026

Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Hasrat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk meraih gelaran pertama musim ini tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi akhir Malaysia Masters 2026 hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memulakan perlawanan kurang meyakinkan, ketinggalan 0-7 pada awal set pertama.
  • Bangkit mengutip enam mata berturut-turut dan mendahului 11-10, namun tewas set pertama 21-16.
  • Tampil lebih kemas pada set kedua, mendahului 8-4 tetapi dipintas untuk tewas 21-17; pasangan Denmark muncul juara.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Unifi, Kuala Lumpur, pasangan negara bermula kurang meyakinkan apabila ketinggalan 0-7 pada awal permainan.

Namun, Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit dengan mengutip enam mata berturut-turut sebelum mendahului 11-10.

Momentum tersebut bagaimanapun gagal diteruskan apabila pasangan Denmark kembali menguasai permainan untuk memenangi set pertama 21-16.

Pada set kedua, beregu ranking kesembilan dunia itu tampil lebih kemas dan sempat mendahului 8-4.

Namun, Lundgaard-Vestergaard sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan 12-12 sebelum menoktahkan kemenangan 21-17 sekali gus muncul juara Malaysia Masters 2026.

Kemenangan itu menyaksikan pasangan Denmark membawa pulang wang tunai berjumlah USD37,525 (RM148,900).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.