Sze Fei-Nur Izzuddin terlepas gelaran, China dominasi Malaysia Masters 2026

Pemain perseorangan lelaki China, Li Shi Feng muncul juara Perodua Malaysia Masters 2026 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Impian beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk merangkul kejuaraan di laman sendiri tidak kesampaian apabila sekadar muncul naib juara pada aksi final Malaysia Masters 2026 di Arena Unifi, Bukit Jalil hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sze Fei-Nur Izzuddin tewas kepada gandingan Denmark 16-21, 17-21 dalam 42 minit.
  • Kem China terus dominasi hari terakhir Jelajah Dunia BWF Super 500 dengan meraih beberapa gelaran utama.
  • Ratchanok Intanon mengejutkan menewaskan Chen Yu Fei 21-17, 21-15 dalam 51 minit.

Pasangan ranking kesembilan dunia yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan itu tewas kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard menerusi keputusan straight set 16-21, 17-21 dalam tempoh 42 minit permainan.

Sze Fei-Nur Izzuddin dilihat bergelut untuk mengekalkan rentak permainan terutama pada set kedua sebelum terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Denmark itu.

Keputusan berkenaan menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pasangan kini terikat sama kuat apabila masing-masing mencatat tiga kemenangan daripada enam pertemuan.

Sementara itu, kem China terus mendominasi saingan hari terakhir Jelajah Dunia BWF Super 500 itu dengan meraih beberapa gelaran utama.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain Thailand, Ratchanok Intanon mencipta kejutan apabila menewaskan pemain nombor empat dunia dari China, Chen Yu Fei.

Pilihan kedua kejohanan itu menang straight set 21-17, 21-15 dalam tempoh 51 minit sekali gus menafikan hasrat Yu Fei untuk menjulang kejuaraan di Kuala Lumpur.

Bagi acara beregu wanita, pasangan China, Chen Fan Shu Tian-Luo Xu Min menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan wakil Jepun, Sayaka Hirota-Ayako Sakuramoto 21-16, 25-23 dalam masa 52 minit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.