Tekanan tinggi Denmark sukarkan Sze Fei-Nur Izzuddin

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani – RTM

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengakui ketangkasan dan corak permainan agresif pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard menjadi faktor utama kegagalan mereka menjuarai Malaysia Masters 2026 hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasangan Denmark memberi tekanan tinggi berterusan sepanjang perlawanan, menyulitkan rentak permainan kami.
  • Mereka berjaya membaca corak permainan kami sehingga menyukarkan perubahan taktikal semasa perlawanan.
  • Perlu perbaiki servis dan menerima servis sebagai aspek kritikal untuk kejohanan akan datang.

Menurut Nur Izzuddin, lawan mereka mempamerkan aksi cukup kemas selain berjaya memberi tekanan berterusan sepanjang perlawanan final yang berlangsung di Arena Unifi, Bukit Jalil.

“Saya rasa pihak lawan bermain dengan sangat bagus hari ini. Mereka memang memberikan tekanan yang tinggi kepada kami sejak awal permainan sehingga penghujung perlawanan,” katanya selepas tamat aksi final.

Tambah beliau, pasangan Denmark itu juga berjaya membaca corak permainan mereka dengan baik sehingga menyukarkan mereka melakukan perubahan taktikal sepanjang perlawanan.

“Pihak lawan memang sudah membaca corak permainan kami, jadi kami agak lambat untuk menukar strategi. Mereka juga mempamerkan corak permainan yang sangat agresif.

“Selain itu, dari segi servis dan menerima servis, itu antara bahagian kritikal yang perlu kami perbaiki lagi untuk kejohanan seterusnya,” katanya.

Pada aksi final tersebut, Sze Fei-Nur Izzuddin terpaksa berpuas hati muncul naib juara selepas tewas straight set kepada pasangan Denmark itu dalam tempoh 42 minit permainan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.