
KLANG, 24 Mei — Lebih 1,500 warga sekitar Klang menyertai Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 yang berlangsung di Laman Seni Safari di sini.
- Program diadakan serentak dengan Hari Klang Tanpa Kenderaan, memberi kelebihan dan memeriahkan penyertaan awal peserta.
- Larian sejauh 3.2 kilometer disertai komuniti, agensi kerajaan dan penggiat sukan untuk menyemarakkan semangat kesukanan.
- Larian obor membawa simbol perpaduan, sokongan kepada kontinjen SUKMA serta memupuk minat masyarakat kepada budaya hidup sihat.
- Jelajah bermula di Shah Alam pada 10 Mei, meneruskan lawatan ke beberapa daerah dan berakhir di Sepang pada 9 Ogos.
Program siri kedua jelajah itu diadakan serentak dengan Hari Klang Tanpa Kenderaan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Larian sejauh 3.2 kilometer itu turut disertai komuniti setempat, agensi kerajaan serta penggiat sukan bagi menyemarakkan semangat kesukanan menjelang temasya SUKMA Selangor 2026.
Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Affendi Mod Arif berkata penganjuran bersama Hari Klang Tanpa Kenderaan memberi kelebihan kepada program berkenaan apabila peserta hadir seawal pagi untuk memeriahkan acara.
Menurut beliau, larian obor itu membawa simbolik perpaduan, semangat kebersamaan dan sokongan rakyat terhadap kontinjen SUKMA dan PARA SUKMA Selangor.
“Ia juga menjadi medium untuk menyemai minat masyarakat terhadap budaya hidup sihat serta penglibatan aktif dalam aktiviti sukan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Beliau turut menyempurnakan penerimaan obor daripada rombongan larian Majlis Bandaraya Shah Alam yang diketuai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Azhar.
Turut hadir Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Salimi Azmi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.
Jelajah Larian Obor SUKMA dan PARA SUKMA 2026 sebelum ini membuka tirai di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 Mei lalu dan akan diteruskan ke beberapa daerah lain termasuk Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Selayang, Ampang Jaya, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya serta Kuala Langat sebelum berakhir di Sepang pada 9 Ogos depan.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala PARA SUKMA akan berlangsung pada 5 hingga 14 September depan.