
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mempertahankan keputusan pengadil menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia pada perlawanan akhir regu berpasukan Piala Dunia 2026 di Stadium Titiwangsa, malam tadi.
- Pengadil memaklumkan kesalahan pemain Thailand memijak garisan bawah jaring dibuat mengikut undang-undang permainan ISTAF.
- Thailand meminta semakan; pengadil memaklumkan pelanggaran garis tengah bukan dalam skop prosedur sistem semakan.
- Pasukan Thailand enggan meneruskan perlawanan dan tidak kembali dalam masa ditetapkan; isu disiplin dirujuk kepada badan disiplin untuk semakan lanjut.
Dalam satu kenyataan bandan induk sukan sepak takraw dunia itu, menegaskan keputusan pengadil perlawanan berhubung kesalahan pemain Thailand memijak garisan bawah jaring dibuat mengikut undang-undang permainan ditetapkan ISTAF.

“Susulan keputusan itu, pasukan Thailand meminta semakan. Bagaimanapun, pengadil perlawanan memaklumkan pelanggaran garis tengah tidak termasuk dalam skop prosedur sistem semakan.
“Walaupun beberapa penjelasan dan nasihat diberikan oleh pegawai perlawanan, pasukan Thailand enggan meneruskan perlawanan dan tidak kembali ke gelanggang dalam masa yang dibenarkan di bawah peraturan pertandingan,” menurut kenyataan itu.
Susulan keengganan Thailand meneruskan permainan dan selaras dengan buku panduan teknikal ISTAF dan peraturan pertandingan, pengadil perlawanan kemudiannya mengisytiharkan perlawanan itu dibatalkan dan memberikan kemenangan 2-1 kepada Malaysia.

Dalam pada itu, ISTAF turut menegaskan semua pengadil diamanahkan untuk menjalankan tugas secara profesional, adil dan bebas mengikut undang-undang permainan.
“Sekiranya mana-mana pasukan tidak bersetuju dengan keputusan semasa pertandingan, bantahan sepatutnya dibuat melalui saluran rasmi dan bukannya menolak untuk meneruskan permainan.
“ISTAF kekal komited untuk melindungi integriti sukan, profesionalisme pengadilan dan semangat permainan yang adil dalam semua pertandingan diiktiraf ISTAF,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, ISTAF turut memaklumkan insiden membabitkan disiplin pertandingan serta tindakan pegawai dan pemain pada aksi final itu sudah dirujuk kepada badan disiplin berkaitan untuk semakan lanjut.