JDT lakar sejarah, julang Piala Malaysia empat kali berturut-turut

Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang trofi Piala Malaysia buat selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – Foto MFL

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang trofi Piala Malaysia buat kali keenam selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT melakar sejarah sebagai pasukan pertama meraih empat kejuaraan Piala Malaysia berturut-turut sejak 2022.
  • Kuching City terbeban selepas Ramadhan Saifullah gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60.
  • Marcos Guilherme memecah kebuntuan pada minit ke-81 untuk memberikan kelebihan kepada JDT.
  • Arif Aiman, kembali selepas enam bulan rehat akibat kecederaan, meledak gol kedua pada masa kecederaan.

Kejuaraan itu juga melakar sejarah apabila skuad Harimau Selatan muncul pasukan pertama merangkul empat kejuaraan Piala Malaysia berturut-turut yang berjaya dipertahankan sejak tahun 2022.

Pertembungan akhir berlangsung sengit bermula dari awal perlawanan dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan di babak pertama.

Separuh masa pertama kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan – Foto Johor Southern Tigers

Penyerang JDT, Bergson da Silva menggamatkan stadiuml apabila membuka jaringan pada minit ke-12, namun dibatalkan selepas dia terlebih dahulu mengasari pertahanan lawan.

Kuching City juga melakukan beberapa serangan berbahaya tetapi gagal menembusi gawang lawan dan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 0-0.

Bersambung babak kedua, permainan semakin rancak dan Kuching City beroleh peluang keemasan untuk mendahului apabila dihadiahkan sepakan penalti di minit ke-60.

Kuching City terlepas peluang untuk mendahului apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti – Foto Johor Southern Tigers

Namun skuad kendalian Aidil Sharin Sahak jelas terpaksa membayar harga mahal susulan kegagalan Ramadhan Saifullah Usman menyempurnakan sepakan penalti berkenaan.

Harimau Selatan kembali memperkemaskan serangan dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Marcos Guilherme pada minit ke-81 untuk kedudukan 1-0.

Marcos Guilherme menjaringkan gol pertama JDT pada minit ke-81 – Foto Johor Southern Tigers

Stadium Nasional sekali lagi bergema pada masa kecederaan apabila Arif Aiman Hanapi yang kembali beraksi selepas enam bulan berehat panjang akibat kecederaan meledak gol kedua JDT.

Gol daripada Arif Aiman menoktahkan kejuaraan Piala Malaysia buat JDT – Foto Johor Southern Tigers

Selang beberapa minit kemudian Stuart Wilkin berjaya menembusi gawang Kuching City, namun gol berkenaan dibatalkan susulan ofsaid.

Keputusan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat, sekali gus JDT dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia bagi musim 2025-2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.