Cubaan seleweng petrol menggunakan permit palsu tumpas di Setiu

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat /Foto RTM

SETIU,23 Mei – Sindiket penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi menggunakan permit khas palsu berjaya ditumpaskan dalam operasi di Merang, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan lingkungan 30-an ditahan disyaki menggunakan permit tidak sah untuk membeli petrol dan diesel berulang kali.
  • Lapan daripada 10 permit syarikat disyaki palsu; sebuah lori, dua tong 500 liter petrol dan anggaran rampasan RM46,800 disita.
  • Op Tiris 4.0 jalankan 1,614 pemeriksaan; 10 kes penyelewengan pelbagai barang, nilai rampasan keseluruhan melebihi RM220,000.

Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan kerana disyaki menggunakan permit tidak sah untuk membeli petrol dan diesel secara berulang kali.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, tangkapan itu hasil risikan selama seminggu menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu bersama pihak polis bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

“Hasil pemeriksaan mendapati lapan daripada 10 permit yang dimiliki sebuah syarikat disyaki palsu. Turut disita sebuah lori serta dua tong berisi 500 liter petrol, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM46,800.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi membeli petrol dan diesel sebanyak tiga hingga empat kali sehari dengan menggunakan permit yang ditinggalkan di stesen minyak bagi memudahkan urusan pengisian bahan api ke dalam tong dram,” katanya selepas membuat pemeriksaan penyalahgunaan permit khas pembelian petrol dan diesel di sini, hari ini.

Mohd Mufsi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau menambah, sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 4.0 hingga semalam, sebanyak 1,614 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negeri.

“Daripada jumlah itu, 10 kes direkodkan melibatkan penyelewengan diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak dan gula, dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM220,000,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.