Program Rhythm santuni 6,500 OKU dan warga emas

Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan/Foto RTM

MELAKA, 23 Mei Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyasarkan seramai 6,500 orang dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di seluruh negara akan menerima manfaat menerusi Program RHYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 12 program RHYTHM telah dilaksanakan di beberapa negeri sehingga 14 Mei.
  • Program disokong peruntukan RM5 juta di bawah Belanjawan 2026 bagi menjamin kesinambungan sehingga hujung tahun.
  • Pelaksanaan akan diperluas ke zon tengah, zon utara dan Pantai Timur; kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap program kebajikan.
  • Program bertujuan meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran asas penjagaan warga emas serta OKU dalam kalangan masyarakat dan penjaga.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, sehingga 14 Mei lalu, sebanyak 12 program di bawah inisiatif berkenaan telah berjaya dilaksanakan di beberapa negeri di seluruh negara.

Beliau memaklumkan, program tersebut turut disokong peruntukan sebanyak RM5 juta di bawah Belanjawan 2026 bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan hingga hujung tahun ini.

“Selepas ini kita akan bergerak ke zon tengah, zon utara dan Pantai Timur. Walaupun ada perbincangan mengenai penjimatan, saya yakin dan percaya kerajaan tetap memberi pertimbangan sewajarnya terhadap program kebajikan,” katanya selepas merasmikan Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan OKU bagi Zon Selatan di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, kerajaan telah meluluskan dan menyediakan peruntukan tersebut bagi memastikan agenda kebajikan tidak terjejas.

Dalam pada itu, JKM berharap pelaksanaan Program RHYTHM dapat meningkatkan pengetahuan, kesedaran serta kemahiran asas penjagaan warga emas dan OKU dalam kalangan masyarakat, penjaga serta komuniti setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.