82 maut dalam letupan lombong arang batu di China

Foto REUTERS

BEIJING, 23 Mei – Sekurang-kurangnya 82 orang maut dalam satu kejadian letupan gas di sebuah lombong arang batu di utara China, menjadikannya antara bencana industri terbesar melanda negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan gas berlaku di lombong arang batu Liushenyu, wilayah Shanxi, pada 7.29 malam; ramai pekerja bawah tanah dibawa keluar.
  • Presiden Xi mengarahkan usaha habis-habisan merawat yang cedera, siasatan menyeluruh serta pengajaran keselamatan di seluruh wilayah.
  • Karbon monoksida melebihi had keselamatan disyaki punca; seorang eksekutif perlombongan ditahan dan operasi mencari masih dipergiat.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan, kejadian berlaku pada 7.29 malam Jumaat di lombong arang batu Liushenyu yang terletak di wilayah Shanxi.

Ketika kejadian, seramai 247 pekerja berada di lombong bawah tanah dengan sebahagian besarnya berjaya dibawa keluar ke permukaan menjelang pagi Sabtu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan 82 dilaporkan maut, manakala sembilan lagi mangsa masih hilang dan gerakan mencari sedang dipergiat.

Presiden Xi Jinping mengarahkan “usaha habis-habisan” dilakukan bagi merawat mangsa yang cedera dan menuntut siasatan menyeluruh dijalankan serta-merta, selain menggesa semua wilayah mengambil iktibar daripada insiden terbabit demi memastikan keselamatan di tempat kerja.

Susulan kejadian itu, seorang individu yang bertanggungjawab ke atas syarikat perlombongan berkenaan telah ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Media tempatan pada mulanya hanya melaporkan empat kematian dengan puluhan lagi terperangkap selepas tahap gas karbon monoksida iaitu sejenis gas toksik dan tidak berbau di dalam lombong itu dikesan melebihi had keselamatan sebelum angka korban melonjak mendadak beberapa jam kemudian.

Shanxi, yang merupakan antara wilayah miskin di China, merupakan hab utama perlombongan arang batu di negara itu.

Meskipun tahap keselamatan lombong di China menunjukkan peningkatan sejak beberapa dekad lalu, kemalangan maut masih kerap berlaku disebabkan protokol keselamatan yang longgar dan peraturan yang kabur. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.