SKDS: Peluasan kelayakan kepada jip, pikap di seluruh negara

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali/ BERNAMA

KUNDASANG, 23 Mei – Bermula 1 Jun 2026, syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh mula membuat pendaftaran dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Sebelum ini, kemudahan tersebut hanya di kawasan Cameron Highlands.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenderaan yang didaftarkan atas nama individu mesti ditukar kepada syarikat atau perniagaan berdaftar untuk layak menerima subsidi SKDS.
  • Setiap fleet card diberi kuota tetap 900 hingga 5000 liter sebulan bagi 23 jenis kenderaan; syarikat boleh mengemukakan rayuan jika perlu.
  • Tanggungjawab penggunaan fleet card ditekankan; penyelewengan akan membawa tindakan tegas termasuk penggantungan dan senarai hitam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata peluasan kelayakan ini susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei 2026, bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan penyaluran subsidi diesel melalui SKDS.

“Jadi keputusan telah dibuat untuk membolehkan lebih banyak lagi syarikat yang mendapat manfaat, maka kebenaran dan juga kelayakan untuk memanfaatkan SKDS dengan syarikat yang memiliki jenis kenderaan pikap dan jip ini ke seluruh negara.

“Jadi sehubungan itu syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan yang berkelayakan yang memiliki kenderaan jenis pikap dan juga jip ini boleh mula untuk membuat pendaftaran berikut kuasa pada 1 Jun 2026 ini”, katanya pada sidang media di Kundasang, Ranau.

Sementara itu, Datuk Armizan memaklumkan peluasan manfaat subsidi diesel melalui SKDS turut melibatkan kenderaan yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, namun digunakan untuk tujuan pengangkutan barangan.

Menurutnya, pemilik kenderaan terbabit bagaimanapun perlu memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk menukar status pendaftaran kenderaan daripada individu kepada syarikat atau perniagaan berdaftar.

Sehubungan itu, pengguna individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan membuat pendaftaran syarikat dan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Manakala, pendaftaran perniagaan di Sabah dan Sarawak pula adalah melalui pihak berkuasa yang ditetapkan mengikut undang-undang negeri.

“Jadi diluaskan manfaat ini kerana sebelum ini kita dapati ada pihak-pihak yang terlibat dengan aktiviti pengangkutan barangan darat ini. Namun mereka mendaftarkan kenderaan itu atas nama individu.

“Maka digalakkan untuk mendaftar atas nama syarikat atau perniagaan dan pada masa yang sama mereka juga perlu untuk memenuhi, pertama syarat kelayakan dan yang kedua memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat dan perniagaan dengan jabatan pengangkutan jalan”, katanya.

Sementara itu, kerajaan turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan sebagai usaha memperkukuh mekanisme kawal selia dan mengekang ketirisan subsidi diesel serta penyalahgunaan fleet card.

Datuk Armizan berkata setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap di antara 900 liter hingga 5000 liter sebulan. Ia tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.

“Penetapan had kota ini adalah bersandarkan kepada jumlah penggunaan sepanjang dua tahun pelaksanaan SKDS ini. Kita ada data melalui sistem SKDS itu kita ada rekod jenis-jenis kenderaan ini berapa penggunaannya sebelum ini berapa penggunaan sebelum ini maka kuota itu diselaraskan untuk kita menentukan had kota tetap bagi setiap jenis 23 kenderaan itu”, katanya.

Beliau turut memaklumkan syarikat yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota boleh mengemukakan rayuan kepada KPDN secara dalam talian atau fizikal, tertakluk kepada semakan rekod penggunaan dan justifikasi operasi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua syarikat supaya bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card dan memberi amaran tindakan tegas termasuk penggantungan serta senarai hitam akan dikenakan sekiranya berlaku penyelewengan subsidi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.