
ULASAN BERITA
- Bekalan domestik masih terjamin; petrol RON95 bersubsidi dikekalkan dan stok makanan asas mencukupi sehingga akhir tahun.
- Kerajaan menggesa rakyat berjimat cermat, berbelanja berpada-pada dan sediakan payung sebelum hujan.
- Jangan buat pembelian panik atau menimbun bekalan sehingga menyusahkan pengguna lain.
- Kerajaan tubuhkan pasukan petugas krisis untuk memantau ekonomi dan menyelaras tindak balas dalam masa nyata.
Krisis tenaga yang dihadapi dunia ketika ini susulan konflik yang berlarutan di Asia Barat belum ada tanda kesudahan.
Masih banyak negara yang terkesan dengan teruk akibat kekurangan bahan bakar susulan tindakan Iran mengetatkan kawalan ke atas mana-mana kapal yang melalui Selat Hormuz.
Siapa sangka, tindakan pakatan Amerika Syarikat – Israel menyerang Tehran, menyebabkan negara itu menyekat dan mengawal sepenuhnya laluan penting perdagangan dunia tersebut.
Kini, seluruh dunia merasakan kesannya, harga bahan bakar yang melonjak menyebabkan kesan berantai, mencapai ke meja makan.
Pelbagai kos meningkat, terutama perkhidmatan pengangkutan yang bergantung kepada bahan bakar petroleum, menyebabkan harga pelbagai produk harian turut naik, terutama berkaitan makanan.
Bagaimana pun, Malaysia masih bertahan, dengan petrol RON95 bersubsidi dikekalkan pada kadar harga RM1. 99 sen seliter bagi warganegara. Begitu juga stok bekalan makanan asas, cukup sehingga akhir tahun ini, alhamdulillah.
Jaminan bekalan tersebut dinyatakan Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadhil dalam ucapannya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Zon Semenanjung di Angkasapuri, Kota Media.
Disebalik jaminan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil ringan situasi tenang ketika ini. Keadaan boleh berubah. Justeru Datuk Fahmi mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengambil pendekatan bersederhana.
Usah boros, berbelanjalah secara berpada-pada dan berjimat cermat serta sentiasa ‘sediakan payung sebelum hujan.’ Bak pantun;
Pergi ke belukar memasang pukat,
Pulangnya lewat di hujung petang,
Jikalau sentiasa berjimat cermat,
Rezeki secupak, terasa segantang.
Bagaimanapun tegas beliau, dalam berhati-hati dan berjimat-cermat, jangan pula ada yang melakukan pembelian panik. Memborong segala keperluan harian dan bekalan makanan secara berlebihan, tanpa menghiraukan hak pengguna yang lain.
Berhemat, tetapi jangan sampai menyusahkan orang lain pula… ibarat ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah…’
Ekonomi negara ketika ini masih kekal kukuh dan berdaya tahan. Ia dibuktikan menerusi lonjakan perdagangan sebanyak 28.6 peratus kepada rekod RM336.73 bilion bulan lalu.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi, IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata prestasi tersebut didorong tindakan syarikat global yang mempercepatkan aktiviti pembelian awal.
Usaha tersebut bagi mengelakkan risiko tarif, ketegangan geopolitik dan gangguan logistik pada masa hadapan. Menurut beliau, momentum positif itu akan terus menyokong prestasi perdagangan negara bagi separuh pertama tahun ini.
Tambah Mohd Sedek, bagi bulan ini dan Jun, perdagangan Malaysia juga diramal kekal stabil. Namun, menjangkakan pertumbuhan perdagangan bagi separuh kedua 2026 akan lebih sederhana.
Katanya, kemungkinan gangguan rantaian bekalan global akan mula memberi kesan kepada suku ketiga tahun ini.
Dalam pada itu, tumpuan Kerajaan terhadap reformasi Ekonomi MADANI berteraskan dasar mesra pertumbuhan, program berpaksikan rakyat dan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, terus memperkukuh momentum pertumbuhan ekonomi negara.
Pendekatan tersebut membolehkan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan daripada 5.2 peratus pada tahun 2024 dan 2025, meningkat kepada 5.4 peratus pada suku pertama 2026.
Kerajaan juga tidak tinggal diam dengan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini. Justeru sebuah pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara ditubuhkan.
Pasukan berkenaan akan memantau perkembangan ekonomi dengan rapi dan menyelaras tindak balas dalam masa nyata terhadap risiko baharu.
Apa yang jelas, di sebalik krisis, tekanan dan cabaran global yang rakus merenggut ketidakstabilan ekonomi dunia ketika ini. Kerajaan sedang mencuba sehabis baik, bagi mengurangkan kesannya terhadap negara.
Usaha tersebut bagi memastikan kehidupan rakyat Malaysia kekal terjamin dan sejahtera.
Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad.