Mengemudi kepercayaan dalam era AI: Literasi algoritma kini keperluan negara

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Literasi algoritma perlu dijadikan agenda nasional untuk memperkukuh kepercayaan dan ketahanan masyarakat digital.
  • Tumpuan kepada tiga elemen utama: Kesedaran, Kefahaman dan Kawalan bagi melindungi pengguna daripada manipulasi maklumat.
  • Generasi muda dan warga emas sangat terdedah; pendidikan khusus diperlukan untuk mengurangkan risiko penipuan dan obsesi media sosial.
  • Kerajaan, penggiat industri dan institusi pendidikan mesti bekerjasama menuntut ketelusan platform serta kerangka peraturan AI beretika.

Dalam tempoh kurang sedekad, algoritma dan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah cara masyarakat Malaysia menerima maklumat, membentuk pendapat, malah menentukan corak interaksi sosial harian.

Daripada kandungan di TikTok dan Facebook hinggalah kepada carian Google serta cadangan video YouTube, hampir semua maklumat yang muncul di skrin pengguna hari ini ditentukan oleh algoritma. Persoalannya, sejauh mana masyarakat benar-benar memahami bagaimana kandungan tersebut dipilih dan dipaparkan kepada mereka?

Isu ini semakin kritikal apabila dunia berdepan lambakan berita palsu, manipulasi deepfake, penipuan digital dan fenomena “echo chamber” yang menyebabkan pengguna hanya terdedah kepada pandangan yang selari dengan kepercayaan sedia ada.

Dalam ekosistem komunikasi berteraskan AI, cabaran terbesar bukan lagi sekadar menyampaikan maklumat, tetapi mengurus kepercayaan masyarakat.

Apabila algoritma menentukan apa yang dilihat pengguna, ia secara langsung mempengaruhi persepsi terhadap realiti. Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila masyarakat gagal membezakan antara fakta sahih, propaganda digital dan kandungan manipulatif yang dijana AI.

Atas sebab itu, literasi algoritma perlu dilihat sebagai agenda nasional baharu dalam memperkukuh masyarakat digital yang matang dan berdaya tahan.

Literasi algoritma bukan sekadar kemahiran menggunakan teknologi, tetapi keupayaan memahami bagaimana sistem digital mempengaruhi pemikiran, emosi dan tindakan pengguna. Ia merangkumi tiga elemen utama iaitu Kesedaran, Kefahaman dan Kawalan.

Kesedaran bermaksud pengguna memahami bahawa algoritma sentiasa mengumpul data serta memprofil tingkah laku digital mereka. Kefahaman pula merujuk kepada pengetahuan bahawa kandungan yang dipaparkan bukan berlaku secara rawak, sebaliknya dipacu oleh corak interaksi dan kecenderungan pengguna.

Kawalan pula melibatkan keupayaan mengurus privasi, memilih sumber maklumat berkualiti dan mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada suapan automatik platform.

Golongan muda dan warga emas antara kumpulan paling terdedah terhadap manipulasi algoritma.

Generasi muda walaupun celik teknologi, sering terperangkap dalam budaya “engagement” melampau yang dipacu algoritma sehingga mempromosikan gaya hidup toksik, cabaran berbahaya dan obsesi terhadap validasi media sosial.

Bagi warga emas pula, kekurangan kefahaman mengenai AI dan algoritma menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa penipuan kewangan, scam digital dan penyebaran berita palsu.

Justeru, usaha memperkukuh literasi algoritma memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan institusi pendidikan, kerajaan, industri teknologi dan masyarakat.

Penyedia platform media sosial perlu lebih telus tentang bagaimana algoritma mereka berfungsi, manakala kerajaan pula perlu memperkukuh dasar serta kerangka kawal selia AI yang berpaksikan etika, keselamatan dan kemanusiaan.

Dalam masa sama, institusi pendidikan perlu mula memperkenalkan pendidikan literasi algoritma sebagai sebahagian daripada silibus masyarakat digital masa depan.

AI dan algoritma hanyalah alat. Namun tanpa kefahaman yang betul, alat ini mampu menjadi mekanisme yang memecahbelahkan masyarakat serta meruntuhkan kepercayaan awam.

Masyarakat digital yang matang bukan hanya tahu menekan butang “share”, tetapi memahami mengapa sesuatu kandungan sampai kepada mereka.

Mengurus kepercayaan dalam era AI bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak demi memastikan teknologi terus memperkukuh nilai kemanusiaan dan bukan sebaliknya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Syafila Kamarudin
Ketua Laboratori Generasi Siber
Institut Pengajian Sains Sosial
Universiti Putra Malaysia
E-mel: syafila@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.