
KEMAMAN, 20 Mei– Perisian komputer tanpa lesen bernilai hampir RM500,000 dipercayai digunakan bagi tujuan komersial dirampas dalam dua serbuan di daerah ini, petang tadi.
- Dua serbuan di Chukai dan Bukit Kuang melibatkan sebuah syarikat kejuruteraan dan sebuah syarikat perkapalan.
- Pelbagai perisian seperti STAAD Pro, STAAD Foundation dan Maxsurf ditemui digunakan tanpa kebenaran pemilik hak cipta.
- KPDN menyita 14 salinan perisian serta peralatan termasuk empat komputer desktop dan sebuah komputer riba untuk analisis forensik.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987; jika sabit, boleh dikenakan denda dan penjara sehingga lima tahun.
Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu itu melibatkan sebuah syarikat kejuruteraan di Chukai dan syarikat perkapalan di Bukit Kuang.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, pemeriksaan di kedua-dua premis menemukan pelbagai perisian dipercayai digunakan tanpa kebenaran pemilik hak cipta.
“Serbuan di sebuah syarikat kejuruteraan di Chukai menemukan perisian STAAD Pro dan STAAD Foundation tanpa lesen sah.
Rampasan di premis itu dianggarkan bernilai RM71,050,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan.
Sementara itu, pemeriksaan di sebuah syarikat perkapalan di Bukit Kuang mendapati premis berkenaan dipercayai menggunakan perisian STAAD Pro, Maxsurf dan beberapa perisian lain tanpa kebenaran pemilik hak cipta.
Rampasan di premis kedua pula dianggarkan bernilai RM385,700.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan 14 salinan perisian dipercayai digunakan tanpa lesen sah pada komputer yang diperiksa.
“Dalam operasi tersebut, KPDN turut menyita beberapa peralatan komputer termasuk empat unit komputer desktop dan sebuah komputer riba bagi tujuan analisis forensik serta siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM456,750,” ujarnya lagi.
Operasi penguatkuasaan bawah Akta Hak Cipta 1987 itu dijalankan 10 anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Kemaman dengan kerjasama wakil pemilik hak cipta.
Katanya, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang hak cipta.
Ia juga bagi melindungi pemilik perisian daripada aktiviti penggunaan dan pengedaran salinan tidak sah.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 kerana memiliki salinan langgaran bagi tujuan selain kegunaan persendirian dan domestik.
Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda antara RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran.
Mereka juga boleh dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.