
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Telekom Malaysia Bhd (TM) komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berhubung bekas pekerja TM USA Inc.
- Siasatan dalaman dimulakan selepas mengesyaki salah laku, mengakibatkan pemecatan individu terbabit.
- Maklumat siasatan dikongsi dengan pihak berkuasa; kes kini di bawah bidang kuasa mahkamah AS.
- TM menegaskan mengekalkan piawaian tadbir urus dan pematuhan ketat serta tidak bertolak ansur terhadap salah laku.
- Tiga bekas pegawai kanan didakwa di AS atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta dan memalsukan rekod.
Syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah memulakan siasatan dalaman berikutan mengesyaki wujud salah laku melibatkan individu berkenaan, yang membawa kepada pemecatan mereka.
“Maklumat daripada siasatan itu kemudiannya dikongsi dengan pihak berkuasa yang berkaitan. Perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa DOJ dan mahkamah AS,” menurutnya.
TM menegaskan syarikat mengekalkan piawaian tadbir urus dan pematuhan yang ketat serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku.
Menurut laporan, tiga bekas pegawai kanan anak syarikat TM dihadapkan ke mahkamah negara itu atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta daripada syarikat telekomunikasi milik Malaysia itu.
Kenyataan DOJ menyatakan, tertuduh Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen, masing-masing bekas eksekutif kanan di anak syarikat TM di AS.
Mereka didakwa menggunakan kenyataan palsu dan rekod dipalsukan untuk menyalurkan dana syarikat secara haram.
Malah mereka juga didakwa memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di AS dalam pelbagai kejadian antara Julai 2020 hingga Februari lepas.