Inflasi terkawal bergantung kepada gabungan dasar kerajaan dan disiplin pengguna

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat,USIM, Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee/RTM

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pendekatan terbaik dalam menangani impak inflasi perlu dilaksanakan menerusi gabungan intervensi kerajaan serta penyesuaian dalam kalangan pengguna dan peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan perlu meneruskan subsidi bersasar, kawalan harga barang asas dan mengurangkan kebergantungan import.
  • Peniaga disaran meningkatkan kecekapan operasi dan mengadaptasi teknologi bagi mengawal kos perniagaan.
  • Inflasi dijangka terkawal jika pasaran kerja stabil, pendapatan meningkat, dan pengguna berbelanja lebih bijak.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, dalam usaha mengawal tekanan kos sara hidup akibat kenaikan inflasi, kerajaan diharap dapat mengekalkan pemberian subsidi bersasar, melaksanakan kawalan harga barangan asas serta mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Katanya, pada masa sama, peniaga disaran meningkatkan kecekapan operasi dan menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi bagi mengawal kos perniagaan.

Pengguna pula perlu berbelanja secara berhemah dengan membezakan antara keperluan dan kehendak serta lebih bijak mengurus kewangan isi rumah.

“Apabila pihak kerajaan menyatakan bahawa tekanan ini berlaku secara berperingkat, ia bermaksud kesannya mungkin tidak dirasai serta-merta atau secara mendadak, sebaliknya akan muncul sedikit demi sedikit melalui kenaikan harga barang, termasuk kos perkhidmatan dan perbelanjaan harian.

“Oleh itu, sebagai pengguna yang bijak, kita perlu lebih berhati-hati dalam berbelanja berbanding sebelum ini. Kita juga perlu sedar bahawa sekiranya kuasa beli rakyat menurun, ia boleh memberi kesan kepada keseluruhan pasaran, khususnya dalam sektor peruncitan dan perusahaan,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Terdahulu, inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada April 2026 dengan mata indeks naik kepada 136.9 daripada 134.3, bulan sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesan inflasi dijangka masih terkawal sekiranya pasaran pekerjaan kekal stabil dan pendapatan rakyat terus berkembang.

Dalam pada itu, Dr. Umi berkata, ekonomi Malaysia masih berada di landasan positif dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus menunjukkan aktiviti ekonomi domestik kekal kukuh serta keyakinan pelabur terhadap negara masih tinggi.

Katanya, langkah kerajaan termasuk bantuan tunai bersasar, galakan pelaburan, pengukuhan sektor strategik seperti digitalisasi serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membantu mengekalkan momentum ekonomi semasa.

Mengulas kemungkinan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), beliau berkata keputusan itu masih bergantung kepada trajektori inflasi dan kestabilan ekonomi dalam beberapa bulan akan datang.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.