
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohamad Hassan
KUCHING, 20 Mei – Kira-kira 13,200 liter diesel disyaki diseleweng dan disimpan tanpa permit dirampas dalam Op Tiris 4.0 di sekitar daerah Sibu semalam membabitkan nilai keseluruhan rampasan RM78,490.
- Operasi bersepadu KPDN Sarawak bersama UKPS berjaya mengesan tiga kes penyelewengan diesel.
- Sebuah kapal membawa kira-kira 10,000 liter diesel tanpa permit, dianggarkan bernilai RM21,500.
- Pemeriksaan premis menemui dua skid tank mengandungi kira-kira 3,200 liter diesel tanpa permit; pengurus premis ditahan.
- Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohamad Hassan berkata operasi bersepadu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak bersama Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) berjaya mengesan tiga kes berkaitan penyelewengan diesel.
Beliau berkata rampasan pertama membabitkan sebuah kapal yang membawa kira-kira 10,000 liter diesel dipercayai disimpan tanpa permit sah dengan nilai dianggarkan RM21,500.
“Turut dikesan sebuah van yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan diesel melalui pembelian berulang di stesen minyak.
“Pemeriksaan di sebuah premis turut menemukan dua skid tank mengandungi kira-kira 3,200 liter diesel bernilai RM15,680 tanpa permit sah,” katanya selepas Sekatan Jalan Raya Operasi Bersepadu KPDN Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dan UKPS di Batu 8, Jalan Kuching-Serian malam tadi.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang merupakan pengurus premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Pemeriksaan awal mendapati premis dan kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan serta pengangkutan bahan api berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.