72,616 marker pen tiruan dirampas dalam dua serbuan

Sindiket menjalankan aktiviti penjualan secara dalam talian sebelum premis mereka diserbu pihak penguat kuasa/Foto KPDN Perak

IPOH, 20 Mei – Sebanyak 72,616 unit marker pen pelbagai jenis dan warna disyaki tiruan bernilai hampir RM184,000 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerusi dua serbuan berasingan di Ipoh dan Kuala Kangsar semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan hasil aduan dan risikan bersama wakil pemilik cap dagang terhadap penjualan serta pengedaran barangan dipercayai tiruan.
  • Sindiket dikesan menjalankan penjualan secara dalam talian sebelum premis diserbu pihak penguat kuasa.
  • Wakil syarikat cap dagang membuat pengesahan awal sebelum barangan dan dokumen disita untuk siasatan lanjut.
  • Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan denda serta hukuman penjara bagi kesalahan barangan tiruan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dilakukan hasil aduan dan risikan bersama wakil pemilik cap dagang berhubung kegiatan penjualan dan pengedaran marker pen berjenama terkenal yang dipercayai tiruan.

Menurutnya, sindiket terbabit dikesan menjalankan aktiviti penjualan secara dalam talian sebelum premis mereka diserbu pihak penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis telah menemukan sebanyak 72,616 unit alat tulis marker pen pelbagai jenis dan warna yang disyaki menggunakan cap dagangan berjenama terkenal secara salah.

“Wakil syarikat cap dagang turut melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit sebelum kesemua barangan dan dokumen berkaitan disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan melibatkan kedua-dua premis dianggarkan RM183,990.

Katanya, tindakan tegas itu diambil bukan sahaja bagi melindungi hak pengguna, malah menjaga kepentingan pemilik cap dagang selain mengekalkan keyakinan pelabur asing di Perak.

“Kes kini disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan, pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang tiruan dan sehingga RM30,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Bagi individu atau bukan pertubuhan perbadanan pula, denda boleh dikenakan sehingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, KPDN menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan barangan tiruan melalui aplikasi WhatsApp, portal e-aduan atau talian pusat panggilan KPDN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.