
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) menjelaskan penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak berlaku akibat kesilapan tidak disengajakan ketika proses pemberian kad kepada penjaga pesakit.
- JKWPKL&P menegaskan rekod pemantauan rasmi di fasiliti kerajaan adalah dalam Bahasa Melayu.
- Klinik menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi di kawasan berkepadatan tinggi.
- JKWPKL&P mengambil langkah penambahbaikan, memohon maaf dan menegaskan komitmen terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti, selamat dan mesra rakyat.
Menurut JKWPKL&P dalam kenyataan, pihaknya mengambil serius aduan yang tular di media sosial berkaitan isu berkenaan yang melibatkan seorang pesakit kanak-kanak disyaki demam denggi pada 18 Mei lalu.
JKWPKL&P menegaskan penggunaan rasmi rekod pemantauan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan adalah dalam Bahasa Melayu.
Bagaimanapun, bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit khususnya di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga.
Menurut kenyataan itu, walaupun kad berlainan bahasa diberikan, penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan tetap disampaikan dalam Bahasa Melayu oleh pegawai perubatan termasuk catatan bertulis pada kad berkenaan.
Sehubungan itu, pihak JKWPKL&P memaklumkan langkah penambahbaikan segera telah diambil bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian.
Dalam masa sama, JKWPKL&P turut memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan menegaskan komitmen untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan kekal berkualiti, selamat dan mesra rakyat.