
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Sebanyak 31 syarikat pengangkutan dikenakan tindakan mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan RM463,000 bagi tempoh Januari hingga 11 Mei lalu atas pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan.
- Ops Perang Lebih Muatan sejak Oktober menunjukkan hasil positif; kesalahan muatan berlebihan semakin menurun.
- Sebuah syarikat dikenakan denda tertinggi RM85,000, rekod tertinggi JPJ WPKL.
- JPJ WPKL menegaskan ketegasan penguatkuasaan untuk memastikan undang-undang dipatuhi dan memberi mesej jelas.
- 65,016 kenderaan perdagangan diperiksa, 3,082 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran syarat lesen.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Hamidi Adam berkata pelaksanaan Ops Perang Lebih Muatan sejak Oktober tahun lalu mula menunjukkan hasil positif apabila kesalahan membawa muatan berlebihan dilaporkan semakin menurun.
“Sebuah syarikat yang melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan baru-baru ini dikenakan denda tertinggi pernah direkodkan JPJ WPKL setakat ini iaitu sebanyak RM85,000.
“Hukuman itu membuktikan ketegasan JPJ WPKL dalam memastikan undang-undang dipatuhi sekali gus memberi mesej jelas bahawa kesalahan lebih muatan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya pada sidang media Operasi Khas Lebih Muatan di sini, hari ini.
Dalam tempoh sama, sebanyak 65,016 kenderaan perdagangan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 3,082 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran syarat Lesen Kenderaan Motor serta syarat keperluan perkhidmatan.