
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Kegiatan sindiket yang berselindung di sebalik perniagaan makanan sejuk beku dengan menjalankan aktiviti penyeludupan produk import tidak diiktiraf serta mencampuradukkan produk halal dan tidak halal terbongkar selepas premis berkenaan diserbu polis menerusi Op Taring Chiller di Kajang, Selangor.
- Op Taring Chiller merampas produk sejuk beku bernilai RM12.4 juta, termasuk 4,840 karton karkas khinzir dan 167,144 kg keseluruhan.
- Sindiket menggunakan penandaan halal generik pada pembungkusan untuk mengaburi pihak berkuasa dan pengguna.
- Satu lelaki tempatan dan empat warga Myanmar ditahan; premis dipercayai beroperasi tanpa lesen sejuk beku sah dan disiasat serta dikenakan tindakan undang-undang.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan operasi bersepadu yang dijalankan pukul 8 malam 14 Mei hingga 2 petang 15 Mei lalu melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Selangor, dan Majlis Perbandaran Kajang.
Operasi tersebut turut menahan seorang lelaki tempatan dan empat lelaki warga Myanmar berusia antara 21 hingga 43 tahun yang dipercayai bekerja di premis berkenaan.
“Hasil serbuan oleh pasukan Wildlife Crime Bureau dan Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Pasukan Gerakan Am (PGA) ini, kami berjaya merampas produk sejuk beku dianggarkan bernilai RM12.4 juta, merangkumi 4,840 karton karkas khinzir, 410 karton sayap ayam import serta 115 karton itik, dengan jumlah berat keseluruhan mencecah 167,143.72 kilogram,” katanya.
Siasatan pihak berkuasa turut mendedahkan taktik licik sindiket berkenaan yang melibatkan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 serta Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, apabila dikesan menggunakan penandaan halal secara generik pada pembungkusan bagi mengaburi pihak berkuasa dan pengguna.
“Pihak polis percaya kegiatan ini didalangi oleh sindiket yang mempunyai rangkaian tertentu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang utama, pemodal, serta mana-mana individu lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti ini,” tegas beliau semasa sidang media khas berkenaan
Walaupun syarikat logistik dan stor sejuk beku berkenaan mempunyai pendaftaran perniagaan yang sah di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), semakan lanjut pihak polis membongkar kegiatan mereka yang dipercayai beroperasi tanpa memiliki lesen penyimpanan atau pemprosesan sejuk beku yang sah sejak empat tahun lalu.
Kesemua suspek kini berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 5 Akta Binatang 1953, Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
Op Taring Chiller yang dijalankan sejak 1 Januari lalu merekodkan lapan kes serbuan dengan 52 tangkapan, sekali gus melibatkan rampasan dan sitaan bernilai dianggarkan RM15.1 juta.
Secara keseluruhan, JKDNKA merekodkan 88 kes dengan 153 tangkapan dalam tempoh sama, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM157,390,985.88.