AS kenakan lebih banyak sekatan terhadap Cuba

Foto Reuters

WASHINGTON, 21 Ogos Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu terhadap beberapa entiti Cuba, termasuk Kementerian Pembinaan negara itu, sebagai sebahagian usaha meningkatkan tekanan terhadap kerajaan komunis Havana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan AS sasar syarikat milik kerajaan sektor logam dan perlombongan serta tiga pemimpin ICAP, termasuk presidennya Fernando Gonzalez Llort.
  • Gonzalez pernah disabitkan di AS sebagai perisik dan didakwa terus menjalankan aktiviti anti-Amerika melalui peranan dalam ICAP.
  • Cuba mengecam langkah itu, mendakwa ia memburukkan ekonomi, menyukarkan perkhidmatan asas, dan menjejaskan pelaburan serta aliran tunai.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, beberapa syarikat milik kerajaan yang terlibat dalam sektor logam dan perlombongan turut dikenakan sekatan kerana didakwa menyokong jentera penindasan kerajaan Cuba.

Tiga pemimpin kanan Institut Persahabatan Rakyat Cuba (ICAP) turut menjadi sasaran sekatan, termasuk presidennya, Fernando Gonzalez Llort.

Menurut Jabatan Negara AS, Gonzalez pernah disabitkan di Amerika Syarikat atas kesalahan menjadi perisik Cuba dan menjalani hukuman penjara selama 15 tahun.

Rubio mendakwa Gonzalez meneruskan usaha menjejaskan AS selepas kembali ke Cuba menerusi penglibatannya dalam ICAP.

“Langkah ini menunjukkan pentadbiran Trump tidak akan bertolak ansur dengan usaha rejim Cuba membiayai penindasan atau meneruskan aktiviti anti-Amerika,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez menolak tindakan tersebut dan mendakwa Rubio sengaja menyasarkan syarikat Cuba untuk menjejaskan ekonomi negara itu.

Beliau berkata, sekatan berkenaan turut menyukarkan kerajaan Cuba menyediakan perkhidmatan asas kepada rakyat.

Pentadbiran Presiden Donald Trump melancarkan kempen tekanan baharu terhadap Cuba sejak Januari lalu, termasuk sekatan terhadap konglomerat milik tentera, GAESA.

Tindakan berkenaan menambah tekanan terhadap ekonomi Cuba yang sudah berdepan kekurangan minyak, selain menyaksikan pelaburan asing dan aliran tunai ke negara itu terjejas.

AS turut mendakwa Cuba mengancam keselamatan negara dengan membantu Rusia, China dan Iran, selain menuduh Havana menyokong gerakan berhaluan kiri di Amerika Syarikat.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.