
DUNGUN, 18 Mei – Malaysia melakar satu pencapaian penting dalam agenda peralihan tenaga dengan pelancaran Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong, hari ini.
- Bank tenaga pintar pembentuk grid pertama negara memperkukuh kestabilan grid dan menyokong integrasi tenaga boleh baharu.
- Projek 100MW/400MWh dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad, antara sistem penyimpanan tenaga utiliti berskala besar terawal Malaysia.
- BESS memberikan tindak balas pantas untuk atasi ketidakseimbangan bekalan dan permintaan serta membantu pengurusan beban puncak.
Ia merupakan bank tenaga pintar pembentuk grid pertama negara bertujuan memperkukuhkan kestabilan grid serta menyokong integrasi tenaga boleh baharu.
Dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dungun, projek berkapasiti 100MW/400MWh ini merupakan antara sistem penyimpanan tenaga bateri utiliti berskala besar terawal di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, BESS Santong memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem grid melalui tindak balas pantas terhadap ketidakseimbangan bekalan dan permintaan elektrik.
Sistem berkenaan turut menyokong pengurusan beban waktu puncak selain membantu integrasi tenaga solar pada skala lebih besar menerusi teknologi grid-forming.
“BESS Santong berfungsi sebagai ‘bank tenaga’ yang menyimpan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu seperti ladang solar berskala besar dan sistem solar terapung hibrid hidro sebelum disalurkan semula ke grid apabila diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kemudahan tersebut berupaya menyokong keperluan elektrik bersamaan kira-kira 40,000 isi rumah di sekitar Pantai Timur bergantung kepada corak penggunaan semasa.
Majlis perasmian projek tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Dalam perkembangan sama, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad memaklumkan, projek berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh 309 hari dari tarikh mula sehingga mula tugas.
Pembangunan BESS Santong selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam memperkukuh integrasi tenaga boleh baharu serta meningkatkan daya tahan sistem tenaga negara.