
PORT DICKSON, 18 Mei – Seramai 1,236 pelatih berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205 Tahun 2025 di sini, hari ini.
- TDM memperkukuh tumpuan kepada kepakaran teknikal seperti siber, komunikasi dan perisikan untuk mempertingkat kesiagaan angkatan.
- Pengambilan anggota kini memberi penekanan kepada kualiti dan keseimbangan struktur tenaga manusia, bukan jumlah semata.
- Rancangan 2026 fokus mendapatkan aset baharu berorientasi siber, komunikasi dan perisikan serta anggota berkemahiran dan berkelayakan.
- Syarat pengambilan dipermudahkan: umur maksimum dinaikkan, ketinggian dan BMI dilonggarkan, cermin mata dibenarkan; sasaran pengambilan 350 pelatih wanita.
Daripada jumlah itu, dua pelatih merupakan pemegang ijazah manakala 51 lagi memiliki diploma.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memperkukuh kesiagaan angkatan menerusi pengambilan pelajar muda secara lebih bersasar, dengan penekanan terhadap bidang kepakaran teknikal seperti siber, komunikasi dan perisikan.
Menurut beliau, pengambilan anggota baharu kini tidak lagi tertumpu kepada jumlah semata-mata, sebaliknya menitikberatkan aspek kualiti serta keseimbangan struktur tenaga manusia.
Katanya, keperluan semasa pada tahun 2026 menyaksikan fokus utama diberikan kepada pengambilan anggota yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang berkenaan.
“Bagi tahun 2026 ini, kita merancang untuk mendapatkan aset baharu dengan penekanan kepada bidang siber, komunikasi dan perisikan. Kita memerlukan anggota yang mahir serta mempunyai kelayakan secukupnya bagi mengendalikan peralatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perbarisan tersebut di sini.
Dalam pada itu, TDM turut melakukan penambahbaikan syarat pengambilan bagi memberi peluang lebih luas kepada golongan muda menyertai perkhidmatan berkenaan.
Antaranya termasuk peningkatan had umur maksimum daripada 27 kepada 30 tahun, pelonggaran syarat ketinggian minimum dan indeks jisim badan (BMI), serta kebenaran pemakaian cermin mata bagi bidang tertentu.
Selain itu, TDM turut menyasarkan pengambilan 350 pelatih wanita pada Julai depan bagi menampung keperluan semasa, memandangkan penyertaan anggota wanita ketika ini masih belum mencapai sasaran 10 peratus daripada keseluruhan kekuatan pasukan.