
WASHINGTON, 18 Mei – China komited untuk membeli produk pertanian Amerika Syarikat bernilai sekurang-kurangnya AS$17 bilion bagi tahun 2026, 2027 dan 2028.
- Eksport pertanian AS ke China merosot mendadak, turun 65.7% tahun ke tahun kepada AS$8.4 bilion pada 2025.
- China akan bekerjasama dengan pengawal selia AS untuk menarik balik sekatan fasiliti daging lembu dan menyambung import ayam dari negeri bebas selesema burung.
- Kedua-dua negara akan menubuhkan Lembaga Perdagangan dan Lembaga Pelaburan AS-China untuk selesaikan akses pasaran serta perluas perdagangan dengan pengurangan tarif timbal balik.
Komitmen itu dibuat semasa pertemuan antara Presiden Donald Trump dengan Presiden China Xi Jinping, minggu lalu.
Menurut White House, jumlah tersebut tidak termasuk komitmen pembelian kacang soya yang dibuat oleh China pada Oktober 2025.
Data Jabatan Pertanian Amerika menunjukkan, eksport pertanian negara itu ke China merosot dengan ketara selepas pusingan tarif balas antara kedua-dua negara tahun lalu yang menjejaskan perdagangan secara mendadak, dengan nilai dagangan jatuh 65.7 peratus tahun ke tahun kepada AS$8.4 bilion pada 2025.
China juga telah mengurangkan secara besar-besaran pergantungannya terhadap produk pertanian AS sejak penggal pertama Trump, dengan hanya sekitar 20 peratus kacang soyanya diperoleh dari negara itu pada 2024 berbanding 41 peratus pada 2016.
Kenyataan White House turut menyebut, China akan bekerjasama dengan pengawal selia AS untuk menarik balik penggantungan terhadap fasiliti daging lembu AS serta menyambung semula import produk ayam dari negeri-negeri AS yang disahkan bebas daripada selesema burung.
Mengulangi kenyataan terdahulu kerajaan China, White House pada Ahad turut memaklumkan, dua ekonomi terbesar dunia itu akan menubuhkan Lembaga Perdagangan AS-China dan Lembaga Pelaburan AS-China.
Menteri Luar China, Wang Yi dalam kenyataannya pada minggu lalu berkata, lembaga berkenaan akan menyelesaikan isu akses pasaran bagi produk pertanian serta memperluas perdagangan bawah rangka kerja pengurangan tarif secara timbal balik. -REUTERS