
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Skuad kuadran negara mengesahkan slot ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia ISTAF 2026, selepas menewaskan India dalam aksi tiga set yang mendebarkan di Stadium Titiwangsa.
- Selepas dikejutkan Korea Selatan, pasukan kendalian Mohammad Zulkarnain turun dengan misi wajib menang.
- India tampil bertahan kemas dengan beberapa siri hadangan berkesan, menyukarkan rentak permainan Malaysia.
- Malaysia tewas set pertama 13-15 tetapi bangkit menang set kedua 17-15 dan set ketiga 15-10.
- Kapten Amirul Zazwan mengakui hadangan India antara terbaik dunia; semangat juang tinggi kunci kebangkitan.
Selepas dikejutkan Korea Selatan sebelum ini, pasukan kendalian Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif turun dengan misi wajib menang untuk meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya.
Namun, India tampil memberi tentangan sengit apabila berjaya mengganggu rentak permainan skuad negara menerusi aksi bertahan yang cukup kemas, selain beberapa siri hadangan berkesan di jaring.
Malaysia yang dibarisi Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Amirul Zazwan Amir turut dilihat bergelut mencari rentak sebelum tewas set pertama 13-15.
Skuad negara bagaimanapun bangkit pada set kedua apabila berjaya memanfaatkan kesilapan lawan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan menerusi kemenangan 17-15.
Momentum kebangkitan itu diteruskan dalam set ketiga apabila Malaysia tampil lebih agresif dan berjaya menguasai permainan sebelum menoktahkan kemenangan 15-10, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Kapten pasukan, Amirul Zazwan Amir ketika ditemui selepas perlawanan itu mengakui India memiliki antara benteng terbaik dunia, namun semangat juang yang tinggi menjadi kunci kebangkitan skuad negara.
“Dari segi komunikasi saya rasa okey, tetapi dari segi pukulan kita tidak dapat melepasi hadangan mereka. Bagi saya, hadangan India memang antara yang terbaik di dunia, tetapi kemenangan ini tetap satu kejutan yang baik untuk pasukan” katanya.