
KAJANG, 17 Mei– Dua pelumba remaja berusia 12 tahun mendominasi Kejuaraan FIM MotoMini Malaysia 2026 selepas mengungguli dua kategori berbeza, iaitu 160cc dan 190cc.
- Muhammad Al-Adam Mikail pertahankan gelaran 160cc, memenangi kedua-dua pusingan dan membina rekod juara dua tahun berturut-turut.
- Qasha Irfan Azlan menang 190cc buat kali pertama, berharap layak ke peringkat antarabangsa dan berterima kasih kepada ibu bapa.
- Kejohanan edisi keenam anjuran Kelab Sukan ZK Racing memberi pendedahan dan menjadi platform pencarian bakat peringkat akar umbi.
Dalam perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa LYL, Muhammad Al-Adam Mikail Abdul Hafiz daripada pasukan Scooter.my ZNEXLAB IGOL Racing Team muncul juara bagi kedua-dua pusingan kategori bawah 160cc, sekali gus mempertahankan kejuaraannya buat dua tahun berturut-turut.
Muhammad Al-Adam Mikail yang mula menceburi sukan ini sejak tahun 2024 menerusi kategori 110cc sebelum beralih ke kategori 160cc tahun lepas, memasang impian untuk mengikut jejak langkah pelumba terkenal negara, Hakim Danish.
Bapanya yang memberikan sokongan penuh terhadap bakat anaknya itu memaklumkan, persediaan rapi akan terus dirancang bagi memastikan prestasi cemerlang tersebut dapat dikekalkan pada masa hadapan.
Sementara itu, kategori 190cc pula menyaksikan Qasha Irfan Azlan daripada pasukan Team 4 Racing merangkul gelaran juara buat kali pertama selepas memenangi kedua-dua pusingan perlumbaan.

“Saya bersyukur sebab dapat menjuarai kejohanan ini, saya berharap dapat layak ke peringkat antarabangsa apabila dewasa kelak.”
“Terima kasih kepada ibu dan bapa saya kerana sentiasa mendorong saya, doa mereka sangat menyumbang kepada prestasi saya,” ujar Qasha.
Kejuaraan anjuran Kelab Sukan ZK Racing itu merupakan edisi keenam yang diadakan bertujuan memberi pendedahan pertandingan, selain menjadi platform pencarian bakat di peringkat akar umbi sukan permotoran negara.
Bagi menjadikan perlumbaan lebih dinamik dan berdaya saing, jarak litar sepanjang 900 meter itu dipendekkan daripada saiz biasa.
Kedua-dua kategori membabitkan 17 hingga 18 pusingan litar bagi setiap perlumbaan, menjadikan jarak keseluruhan mencecah lebih 16 kilometer.