Johor bangkit tundukkan ATM 34-28 dalam aksi sengit Piala Agong 2026

Johor pintas ATM di saat akhir, menang 34-28/Foto RTM

SUBANG, 16 Mei – Pasukan Johor menampilkan kebangkitan penuh bergaya apabila menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 34-28 dalam aksi sengit Ragbi Piala Agong 2026 yang berlangsung di Pangkalan Udara TUDM Subang, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • ATM membuka jaringan awal melalui try Leoabrenwee Ferin pada minit kedua.
  • Johor membalas dengan try Rozaini Rozan pada minit kelima; percubaan tambahan Muhammad Nor Hakim gagal.
  • ATM menguasai babak pertama dan menamatkan separuh masa dengan kelebihan 13-10.
  • Babak kedua menyaksikan Hishamuddin Ashraf tercedera; Johor bangkit dengan try akhir, kemenangan disahkan masa tambahan, tingkatkan moral menjelang pertemuan dengan Kedah.

Perlawanan bermula pantas apabila ATM terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi “try” oleh Leoabrenwee Ferin, disusuli dua tambahan mata menjadikan mereka mendahului 7-0

Namun Johor tidak menunggu lama untuk membalas apabila Rozaini Rozan berjaya merobek benteng pertahanan ATM dengan “try” pada minit kelima. Malangnya, percubaan tambahan mata oleh Muhammad Nor Hakim tidak berjaya disempurnakan.

ATM terus menguasai tempo permainan pada babak pertama dan menamatkan separuh masa dengan kelebihan 13-10 ke atas Johor.

Bersambung babak kedua, aksi kedua-dua pasukan semakin rancak dengan jual beli serangan yang menarik perhatian penonton. Perlawanan bagaimanapun sedikit terhenti apabila berlaku insiden terjahan kasar terhadap pemain ATM, Hishamuddin Ashraf yang terpaksa diusung keluar pasukan perubatan.

Ketinggalan pada satu ketika, Johor bangkit mengatur strategi lebih kemas sebelum berjaya merapatkan jurang dan seterusnya mengambil alih perlawanan hasil beberapa “try” penting pada penghujung aksi.

Berbaki lima minit permainan, Johor terus menggandakan tekanan sebelum melengkapkan “try” yang menjadi titik perubahan untuk mereka mendahului ATM.

Selepas dua minit masa tambahan, Johor mengesahkan kemenangan dramatik 34-28 sekali gus mengukuhkan moral pasukan menjelang pertemuan seterusnya menentang Kedah pada Sabtu ini dalam saingan Kumpulan B Ragbi Piala Agong 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.