Jelajah Belia Rukun Negara 2026 perkukuh patriotisme, jati diri belia Malaysia

Foto Facebook Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Program Jelajah Belia Rukun Negara 2026 yang akan dilaksana dari Mei hingga Oktober depan akan melibatkan 15 institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh perpaduan, patriotisme dan jati diri belia melalui penghayatan nilai Rukun Negara.
  • Dilaksanakan secara interaktif dan berasaskan pengalaman untuk menguatkan pemahaman serta pengamalan nilai dalam kehidupan seharian.
  • Menekankan pembinaan nilai, integriti, penghargaan kepelbagaian dan semangat patriotisme sebagai asas pembinaan negara bangsa.

Program tersebut merupakan inisiatif strategik dalam usaha memperkukuh perpaduan, patriotisme dan jati diri belia Malaysia.

​Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program tersebut dilaksanakan menerusi pendekatan interaktif dan berasaskan pengalaman bagi memperkukuh penghayatan nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

“Usaha ini turut memberi penekanan terhadap pembinaan nilai, integriti dan jati diri belia sebagai asas memperkukuh perpaduan serta pembinaan negara bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menyertakan infografik mengenai program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu, yang menyasarkan penyertaan belia berusia 18 hingga 30 tahun.

Setiap siri program akan berlangsung selama dua hari satu malam dengan pengisian berteraskan empat tema utama iaitu “Kenapa dan Mengapa”, “Menjunjung Rukun Negara”, “Meraikan Kepelbagaian” serta “Pembinaan Nilai dan Jati Diri”.

Menurut infografik itu, tema berkenaan memberi fokus kepada pemahaman nasionalisme dan kepentingan Rukun Negara sebagai asas perpaduan negara selain menghayati serta mengamalkan nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Ia turut menekankan penghargaan terhadap kepelbagaian sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan serta pembentukan nilai, integriti dan jati diri berteraskan semangat patriotisme.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.