KPT lancar PTK-IPT 2026-2030: Sasar lahirkan usahawan graduan bertaraf global

Majlis Anugerah Keusahawanan KPT 2025 (AKKPT ’25)  di ibu negara

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026-2030 sebagai kerangka strategik baharu bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti dan melahirkan graduan usahawan bertaraf global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan lima tahun memerkasakan inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi untuk melahirkan usahawan holistik berdaya saing di peringkat antarabangsa.
  • Menekankan keterangkuman ekosistem keusahawanan melibatkan universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti dalam sektor TVET.
  • Matlamat meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menjadikan keusahawanan pilihan kerjaya utama dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.

Pelancaran pelan tindakan itu disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir sempena Majlis Anugerah Keusahawanan KPT 2025 (AKKPT ’25) yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.

Bertemakan “Melonjak Keusahawanan, Memacu Inovasi, Melestari Masa Hadapan”, pelan lima tahun tersebut dirangka bagi melahirkan usahawan holistik yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa melalui pemerkasaan inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi.

Menurut Datuk Seri Dr. Zambry, PTK-IPT 2026-2030 merupakan kesinambungan kepada aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Beliau berkata, universiti perlu berfungsi sebagai “makmal hidup” yang bukan sahaja melahirkan idea dan inovasi, malah mampu menterjemahkannya kepada penyelesaian sebenar untuk industri serta pasaran global.

“Kita mahu hasil penyelidikan universiti berjaya dikomersialkan dan syarikat pemula niaga mahasiswa berkembang menjadi syarikat global,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Pelan tindakan itu turut memberi penekanan kepada aspek keterangkuman dengan melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi merangkumi universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Datuk Seri Dr. Zambry berkata, agenda tersebut selaras dengan gagasan Akal Budi Nusa atau Brain of the Nation yang meletakkan universiti sebagai pusat pemikiran strategik negara, manakala keusahawanan menjadi instrumen penting dalam menterjemahkan ilmu kepada kemakmuran ekonomi rakyat dan negara.

KPT berharap pelaksanaan PTK-IPT 2026-2030 mampu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dengan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sektor pekerjaan konvensional dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu menjelang 2030.

Majlis AKKPT ’25 turut menyaksikan pengiktirafan kepada bakat keusahawanan terbaik institusi pendidikan tinggi negara.

Edisi kelapan anugerah berprestij itu merekodkan 400 penyertaan daripada 67 institusi pendidikan tinggi, peningkatan 33 peratus berbanding edisi sebelumnya.

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan dengan penilaian dilakukan panel juri daripada SME Corp Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation MDEC.

Bagi kategori institusi terbaik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dinobatkan sebagai Universiti Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin pula memenangi kategori Politeknik Terbaik dengan hadiah RM150,000 dan trofi, manakala Kolej Komuniti Sungai Petani dipilih sebagai Kolej Komuniti Terbaik sekali gus membawa pulang RM100,000 berserta trofi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.