
PUTRAJAYA, 15 Mei – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat delegasi Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (USABC) yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian D. McFeeters di Wisma Tani, Putrajaya, semalam.
- Malaysia melihat Amerika Syarikat sebagai rakan strategik untuk membangunkan pertanian moden dan mampan menghadapi perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik.
- Menegaskan hasrat memperkukuh kerjasama dan pelaburan dengan syarikat AS dalam sektor padi serta ruminan, dan memperluas penanaman jagung bagi makanan haiwan.
- Sesi dialog memberi tumpuan kepada pertanian regeneratif, isu bekalan baja dan hala tuju pembangunan sektor pertanian negara.
- Malaysia menjemput delegasi USABC menyertai Pameran MAHA 2026 untuk mempromosi kerjasama dan peluang pelaburan dalam pertanian.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Norazman Ayob bersama pegawai kanan kementerian serta jabatan di bawah KPKM.
Dalam pertemuan itu, Datuk Seri Mohamad menegaskan Malaysia melihat Amerika Syarikat sebagai rakan strategik penting dalam usaha membangunkan sektor pertanian moden dan mampan bagi mendepani cabaran global semasa termasuk perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan geopolitik.
Beliau turut menyatakan hasrat Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dan pelaburan dengan syarikat serta pemain industri dari Amerika Syarikat dalam sektor padi dan ruminan, selain memperluaskan penanaman jagung bijirin secara besar-besaran bagi menyokong industri makanan haiwan domestik.
Sesi dialog tersebut memfokuskan kepada tiga agenda utama iaitu pertanian regeneratif (regenerative agriculture), isu bekalan baja dan hala tuju pembangunan sektor pertanian negara.
Pada masa sama, Datuk Seri Mohamad turut menjemput delegasi USABC untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2026 (MAHA 2026) yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026.