KPM perkasa pendidikan negara menerusi Kurikulum baharu 2027

Majlis Santapan Diraja Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026 di Ipoh

IPOH, 16 Mei – Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengukuhan dwibahasa serta pembangunan sahsiah pelajar menjadi antara fokus utama transformasi pendidikan negara bagi mendepani cabaran dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027 yang progresif berorientasi masa hadapan.
  • Perkukuhan penguasaan Bahasa Melayu dan mata pelajaran Sejarah serta perluasan akses pendidikan awal kanak-kanak usia lima tahun.
  • Penghargaan kepada guru melalui tema "Guru Bitara Nadi Negara" dan seruan untuk terus menyemarakkan budaya ilmu dengan dedikasi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu digerakkan menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 serta pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang lebih progresif dan berorientasikan masa hadapan.

Menurut beliau, kurikulum baharu tersebut turut memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu dan mata pelajaran Sejarah sebagai asas identiti nasional, selain memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak seawal usia lima tahun.

“Dalam mendepani perubahan dunia yang begitu pantas, pendidikan negara juga perlu bergerak dengan keberanian dan pandangan jauh agar kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan masa hadapan.

“Segala usaha ini digerakkan dengan tekad memastikan pendidikan negara kekal relevan, progresif dan mampu membuka peluang yang saksama kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Santapan Diraja Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026 di Ipoh, malam tadi.

Tambah Fadhlina, sambutan Hari Guru tahun ini yang membawa tema “Guru Bitara Nadi Negara” merupakan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan negara.

Beliau turut menyeru seluruh guru agar terus menyemarakkan budaya ilmu dengan penuh dedikasi dan keikhlasan demi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis berkenaan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama isteri.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim Wan Rahim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.