
KUALA LUMPUR, 15 Mei –Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat kepada 1.6 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 1.3 peratus pada suku keempat 2025, manakala inflasi teras menyederhana kepada 2.1 peratus daripada 2.3 peratus sebelum ini
- Peningkatan inflasi didorong pemindahan kos susulan tekanan kos global dan konflik di Asia Barat.
- Lonjakan harga tenaga global menaikkan harga bahan api domestik pada Mac, khususnya RON97 dan diesel tanpa subsidi.
- Inflasi teras menyederhana, menunjukkan tekanan asas kekal sederhana dalam keadaan permintaan yang stabil.
- BNM mengunjurkan inflasi 2026 dalam julat purata 1.5 hingga 2.5 peratus dan akan terus memantau risiko luaran.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, peningkatan itu didorong oleh kesan awal pemindahan kos susulan tekanan kos global yang lebih tinggi, sebahagiannya berpunca daripada konflik di Asia Barat.
“Ini sejajar dengan jangkaan. Lonjakan harga tenaga global telah menyebabkan peningkatan harga bahan api domestik pada Mac, khususnya bagi RON97 dan diesel tanpa subsidi, sekali gus menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan.
”Bagaimanapun, peningkatan itu sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih rendah, yang menyederhana kepada 2.1 peratus, menunjukkan tekanan inflasi asas kekal sederhana dalam keadaan permintaan yang stabil,” katanya pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026, hari ini.
Tambah beliau, indikator harga harian seperti harga makanan dan barangan runcit menunjukkan keadaan harga keseluruhan masih terkawal sehingga awal Mei.
Mengulas prospek inflasi bagi 2026, BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan berada dalam julat purata antara 1.5 hingga 2.5 peratus, mengambil kira perubahan struktur subsidi bahan api.
“Inflasi dijangka meningkat sedikit, terutamanya didorong oleh kenaikan harga tenaga global yang lebih tinggi serta tekanan kos berkaitan susulan peningkatan konflik di Asia Barat.
“Risiko kenaikan inflasi ini kebanyakannya berpunca daripada faktor luaran. Khususnya, jika konflik di Asia Barat terus memuncak, ia boleh menyebabkan harga tenaga global meningkat dengan lebih tinggi serta tekanan kos input yang lebih berpanjangan akibat gangguan rantaian bekalan yang lebih meluas,’ katanya lagi.
Menurutnya, permintaan global yang lebih kukuh, peningkatan aktiviti perdagangan yang meningkat, berpotensi memberi tekanan kepada permintaan domestik sekaligus membantu mengekang inflasi.
“Selagi tiada tekanan permintaan yang berlebihan, langkah mitigasi sedia ada dijangka mampu mengekalkan kestabilan harga dalam jangka pendek,” katanya lagi.
Bank pusat itu turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan semasa bagi menilai kesan perubahan kos dan permintaan terhadap prospek inflasi negara.