Umat Islam digesa berhati-hati keluarkan kenyataan

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar/Foto RTM

KOTA KINABALU, 15 Mei – Umat Islam diingatkan supaya sentiasa mengamalkan prinsip tabayyun iaitu menyemak dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, khususnya yang melibatkan tokoh-tokoh besar dalam Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berhati-hati dalam berkata-kata untuk elak salah faham, kekeliruan dan fitnah.
  • Kenyataan tanpa fakta terutama yang menghina para sahabat tidak wajar dan boleh cetus persepsi negatif.
  • Para sahabat dihormati sebagai tonggak dakwah dan rujukan selepas al-Quran serta sunnah.
  • Situasi kenyataan kontroversi perlu diperbetulkan dan masyarakat digesa jaga sensitiviti berhubung tokoh Islam.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar menegaskan, sikap berhati-hati dalam berkata-kata amat penting bagi mengelakkan salah faham, kekeliruan serta fitnah yang boleh memberi kesan besar terhadap kefahaman umat Islam.

Beliau berkata, sebarang kenyataan yang tidak berasaskan fakta kukuh, terutama yang mengaitkan para sahabat Nabi Muhammad SAW dengan unsur tidak bermoral, adalah tidak wajar dan boleh mencetuskan persepsi negatif dalam masyarakat.

Menurutnya, para sahabat mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam kerana mereka merupakan tonggak utama dalam penyebaran dakwah serta menjadi sumber rujukan selepas al-Quran dan sunnah.

“Sebarang kenyataan gopoh adalah sesuatu yang mendukacitakan dan perlu diperbetulkan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja merosakkan kewibawaan diri sendiri, tetapi juga boleh menjadi fitnah besar kepada para sahabat yang dimuliakan dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Menara Kinabalu.

Dalam pada itu, tokoh-tokoh besar Islam seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali RA turut dikenali dengan akhlak serta keperibadian yang mulia sebelum dan selepas memeluk Islam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menyentuh kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menjaga sensitiviti dalam isu berkaitan tokoh Islam.