
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kes pelanggaran data peribadi di Malaysia menunjukkan trend membimbangkan seiring peningkatan penggunaan teknologi digital dan ancaman siber yang semakin kompleks.
- Penyalahgunaan AI membolehkan penjenayah siber mempercepat dan memperhalusi serangan serta menghasilkan penipuan dalam talian lebih tersasar dan sukar dikesan.
- Aduan salah guna data peribadi meningkat ketara tahun ini, sekitar 50 peratus sehingga Jun dan berpotensi meningkat dua kali ganda.
- Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2024 mewajibkan organisasi melaporkan insiden pelanggaran dalam tempoh 72 jam; orang ramai dinasihat lebih berwaspada berkongsi maklumat.
Pesuruhjaya Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Malaysia, Syarifah Rashidah Syed Othman berkata, data peribadi kini banyak disimpan dalam bentuk digital dan pangkalan data berskala besar, sekali gus lebih terdedah kepada risiko pencerobohan serta kebocoran maklumat.
Beliau menjelaskan, sebarang pelanggaran data boleh memberi kesan besar kepada pengguna sekiranya sistem sesebuah organisasi berjaya ditembusi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Situasi itu turut diburukkan dengan penyalahgunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) oleh penjenayah siber.
Menurut beliau, AI kini boleh digunakan untuk mempercepatkan serta memperhalusi serangan siber, selain menghasilkan penipuan dalam talian atau scam yang lebih tersasar dan sukar dikesan.
“Jika teknologi ini disalahgunakan oleh pelaku ancaman siber, mereka mampu mempertingkatkan kerumitan serangan untuk menembusi sistem dan pangkalan data. Dalam masa sama, ia juga digunakan untuk kempen penipuan yang lebih terancang,” katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia hari ini.
Tambah beliau, jumlah aduan berkaitan salah guna data peribadi turut meningkat ketara tahun ini, sejajar dengan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap isu keselamatan data.
“Sehingga Jun tahun ini, aduan meningkat sekitar 50 peratus dan dijangka boleh meningkat sehingga dua kali ganda berbanding tahun lalu,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709) tahun 2024 mewajibkan mana-mana organisasi untuk melaporkan sebarang insiden pelanggaran data kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dalam tempoh 72 jam.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dalam berkongsi maklumat peribadi di media sosial serta mengehadkan pendedahan data bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah siber.