Seorang maut, dua cedera di Jalan Kulai-Kota Tinggi

Kemalangan di Kilometer 9 Jalan Kulai-Kota Tinggi, Johor

KULAI, 15 Mei – Seorang pemandu kereta maut, manakala penumpang dan seorang lagi pemandu lori cedera, selepas terbabit kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 9 Jalan Kulai – Kota Tinggi, Johor, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lori hilang kawalan, masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta.
  • Pemandu kereta berusia 56 tahun meninggal di tempat kejadian; dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk bedah siasat.
  • Penumpang wanita 57 tahun dan pemandu lori mengalami cedera ringan, menerima rawatan; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Kulai Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Tan Seng Lee dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 53 tahun, dari arah Kulai menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan.

“Lori berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dipandu lelaki bersama seorang penumpang wanita.

“Pemandu kereta berusia 56 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk dibedah siasat,” menurut kenyataan itu.

Manakala, penumpang wanita 57 tahun dan pemandu lori mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.