Tindakan pragmatik lindungi rakyat daripada krisis tenaga global

Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kerajaan mengambil pendekatan pragmatik dalam berdepan dengan impak krisis bekalan tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus memastikan bekalan keperluan asas stabil, melindungi rakyat daripada tekanan kos hidup dan memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang.
  • Langkah dilaksanakan: bantuan bersasar, kawalan harga, pengukuhan keselamatan tenaga dan kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan rakyat.
  • Menggesa semua pihak bersatu, berdisiplin dan kekal yakin bagi menyokong usaha negara menghadapi cabaran global.
  • Kerajaan kekal komited menjaga kebajikan rakyat walaupun menghadapi gangguan bekalan dan kos logistik global.

Fokus utama adalah memastikan bekalan keperluan asas negara kekal stabil, melindungi rakyat daripada tekanan kos hidup yang melampau serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara bagi jangka panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, untuk itu bantuan bersasar, kawalan harga, pengukuhan keselamatan tenaga serta kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan rakyat telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Tegas beliau, penting untuk semua pihak secara bersama dengan semangat kebersamaan, disiplin dan keyakinan rakyat mendukung usaha negara semasa mengharungi cabaran global dan krisis itu.

“Gangguan bekalan global, ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan kos logistik antarabangsa telah menyebabkan harga makanan, pengangkutan dan pelbagai barangan keperluan meningkat di kebanyakan negara.

“Malaysia turut menerima tempias daripada situasi ini, namun kerajaan kekal komited untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menghadiri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 bagi kementerian itu yang melibatkan seramai 168 penerima.

Menurut beliau, majlis ini merupakan simbolik penghargaan serta apresiasi kementerian dan kerajaan kepada warga PETRA yang telah memberikan perkhidmatan bermutu tinggi, di samping penglibatan aktif di luar tugasan rasmi antaranya kegiatan sukan, kemasyarakatan, persatuan serta sumbangan-sumbangan lain yang memberi manfaat kepada komuniti, organisasi dan negara.

Ia juga satu manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap modal insan berkualiti, dinamik dan berprestasi tinggi yang unggul dalam mencapai jangkaan yang telah ditetapkan.