
KUALA LUMPUR, 14 Mei– Sektor perhutanan negara terus memacu ekonomi menerusi ekopelancongan dan kredit karbon, selain industri berteraskan kayu.
- Hutan amat penting; pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan untuk memastikan kelestarian dan manfaat jangka panjang.
- Kerajaan negeri komited mempertahankan lebih 52 peratus kawasan berhutan Sabah melalui penguatkuasaan Enakmen Hutan 1968 dan pelantikan renjer kehormat.
- Penglibatan generasi muda diberi perhatian melalui program kesedaran, pameran dan aktiviti lapangan bagi memupuk kecintaan terhadap alam sekitar.
Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Zulkifli Suara berkata, peranan hutan amat penting dan pelbagai inisiatif perlu dilaksana bagi memastikan kelestarian hutan terus terpelihara.
“Hutan amat penting dalam menjana ekonomi negara bukan sahaja melalui industri berteraskan kayu, malah turut menyumbang kepada sektor ekopelancongan serta kredit karbon yang mampu menjamin kelestarian hutan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Sabah masih mengekalkan kira-kira 4.6 juta hektar kawasan perhutanan melibatkan hutan simpan, taman-taman Sabah dan kawasan hidupan liar.
Katanya, kerajaan negeri komited mempertahankan lebih 52 peratus kawasan berhutan di Sabah menerusi penguatkuasaan bawah Enakmen Hutan 1968 dan Peraturan Hutan 1999.
Pelantikan renjer hutan kehormat dalam kalangan komuniti setempat dan agensi berkaitan turut membantu membanteras pencerobohan hutan simpan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Roslan Rani berkata, Malaysia masih mengekalkan lebih 18 juta hektar kawasan berhutan meliputi kira-kira 54.4 peratus keluasan negara.
Di Semenanjung Malaysia, Hutan Simpan Kekal yang diwartakan meliputi kawasan seluas 4.85 juta hektar merangkumi hutan pengeluaran dan hutan perlindungan.
“Hasrat kerajaan adalah untuk memberi penjelasan dan meningkatkan pengetahuan kepada seluruh lapisan masyarakat mengenai kepentingan sektor perhutanan kepada negara,” katanya.
Dalam masa sama, penglibatan generasi muda terus diberi perhatian menerusi program kesedaran, pameran dan aktiviti lapangan bagi memupuk rasa cintakan alam sekitar sejak di bangku sekolah.
Menurut beliau lagi, Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2026 bertemakan “Hutan dan Ekonomi” menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan sektor perhutanan terhadap pembangunan negara dan kelestarian alam sekitar.